Bekas menantu Ismail Sabri akan dirakam keterangan SPRM esok
Bekas menantu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Datuk Jovian Mandagie akan dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jakarta esok.
Ia bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri.
Difahamkan rakaman percakapan dibuat di Indonesia kerana Jovian kini menetap di negara itu.
Pasukan penyiasat akan berada di sana selama dua hari untuk proses merekod keterangan yang disifatkan penting kerana beberapa dokumen perlu disahkan Jovian.
Jovian dinamakan sebagai saksi oleh Ismail Sabri ketika keterangannya diambil SPRM sebelum ini, khusus bagi mengesahkan beberapa aset yang diisytiharkan kepada suruhanjaya berkenaan.
SPRM kini masih lagi dalam proses menganalisis semua aset terbabit kerana sumber pendapatan Ismail Sabri terlalu banyak
Difahamkan, Ismail telah berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk swasta selain memiliki beberapa syarikat ketika bukan anggota pentadbiran.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat antara lain membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.