Malaysia, Poland perkukuh hubungan dua hala ke arah kerjasama strategik
Malaysia dan Poland menegaskan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap yang lebih strategik, inklusif dan menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, perkara itu ditekankan dalam sidang media bersama beliau dan Presiden Poland, Andrzej Duda, semasa lawatan rasmi Presiden tersebut ke Malaysia.
“Antara bidang utama yang menjadi fokus termasuk perluasan eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran Poland dan Eropah, serta pengukuhan eksport produk perkayuan yang bernilai tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Kerjasama dalam aspek perolehan pertahanan dan perdagangan produk kayu dan balak yang lestari turut menjadi antara agenda perbincangan, memandangkan potensi besar sektor ini dalam menjana nilai tambah ekonomi.
Anwar berkata, kedua-dua mereka juga menyentuh peluang kerjasama dalam sektor elektrik dan elektronik, termasuk pembangunan teknologi baharu seperti hidrogen hijau, selari dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga yang sedang dipacu di peringkat global.
“Kedudukan Poland sebagai rakan strategik Malaysia dalam Kesatuan Eropah menjadikan hubungan ini amat penting untuk terus diperkasa,” ujar Anwar.
Perdana Menteri menzahirkan harapan agar hubungan antara Malaysia dan Poland terus diperkukuh demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dalam jangka masa panjang.