Jasad dalam keadaan memeluk al-Quran, apa yang berlaku di akhirat?
Salah seorang daripada 15 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur‑Barat, Gerik, Perak awal pagi 9 Jun lalu adalah Nurly Shahirah Azman.
Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berusia 23 tahun itu merupakan seorang hafizah yang menghafal 30 juzuk al‑Quran dan sering menulis semula ayat‑ayat suci untuk memperkukuh hafalannya.
Dalam nahas bas itu, jasad bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berkenaan ditemui memeluk mushaf al‑Quran, seolah-olah itulah teman terakhirnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Mengulas pengakhiran baik (khusnul khotimah) pelajar Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) itu, pendakwah PU Salman mengaitkan dengan keadaan setiap manusia semasa dibangkitkan pada hari kiamat di Padang Mahsyar kelak.
“Kita akan dibangkitkan mengikut keadaan cara kita mati.
“Hadis Riwayat Muslim bermaksud, setiap hamba akan dibangkitkan dalam keadaan dia mati.
“Jika dia mati dalam keadaan bersembahyang, maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan bersembahyang.
“Kalau dia meninggal dalam keadaan berjuang, dia akan dibangkitkan dalam keadaan berjuang.
“Insya-Allah, dia (Nurly Shahirah) akan dibangkitkan dalam keadaan memeluk mushaf,” katanya dalam perkongsian video di TikTok.

Sementara itu, abang Nurly Shahirah turut berkongsikan gambar memaparkan ayat-ayat suci al-Quran tulisan tangan arwah.
Najmuddin Azman berkata, kediaman keluarganya turut dikunjungi Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut serta, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’.

Tengku Muhammad Ismail dan rombongan yang hadir di Kampung Gong Pasir, Kerandang di Jertih, meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama keluarga Allahyarham dan turut meneliti naskhah al-Quran tulisan tangan arwah.
“Terima kasih Tuanku mencemar duli datang ke rumah arwah Nurly. Tuanku tengok hasil tangan arwah menulis al-Quran di buku.
“Itu merupakan amalan arwah untuk menguatkan hafazan arwah. Cantik sangat-sangat tulisan arwah,” kata Najmuddin.
BACA JUGA Melengahkan tindakan kemuncak hipokrasi