Projek Memorial dekat Kampung Raja Uda ADUN serah memorandum

FOTO BERITA: Serahan Memorandum Bantahan kepada Datuk Bandar MBDK oleh YB Azmizam Zaman Huri ADUN Pelabuhan Klang mewakili penduduk terhadap cadangan pembinaan Bangunan Memorial di Kampung Raja Uda ke Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Klang Selangor. 11hb Jun 2025 (Rabu)

YB Azmizam Zaman Huri, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan rasmi kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Ibu Pejabat MBDK, Klang. Memorandum tersebut mewakili suara penduduk Kampung Raja Uda dan kawasan sekitarnya yang membantah keras cadangan pembinaan sebuah Bangunan Memorial 4 tingkat dan satu unit Pencawang Elektrik Padat di kawasan Kampung Raja Uda, Mukim Klang.

Cadangan projek yang dikemukakan oleh Tetuan ABS Technologies Sdn. Bhd. itu melibatkan pembangunan telah dimaklumkan kepada orang awam melalui papan notis yang dipasang di tapak projek pada 23 Mei 2025. Tarikh akhir bagi orang awam memberikan maklum balas terhadap projek ini ditetapkan pada 12 Jun 2025.

Menurut YB Azmizam, hasil tinjauan beliau bersama penduduk serta semakan terhadap dokumen berkaitan menunjukkan bahawa pembangunan ini amat tidak sesuai dengan persekitaran setempat serta menimbulkan pelbagai kebimbangan dari segi sosial, budaya dan perancangan bandar.

“Bangunan Memorial ini difahamkan akan berfungsi sebagai pusat pengurusan mayat dan penyimpanan abu mayat (kolumbarium), yang jelas tidak serasi dengan majoriti penduduk sekitar yang beragama Islam dan tinggal berhampiran, termasuklah Masjid Kampung Raja Uda yang terletak hanya 83 meter dari lokasi cadangan,” katanya dalam sidang media ringkas selepas penyerahan memorandum tersebut.

Penduduk juga menyuarakan kebimbangan terhadap potensi implikasi negatif lain termasuk kesesakan lalu lintas di Persiaran Raja Muda Musa, kekurangan parkir, risiko keretakan rumah akibat kerja-kerja cerucuk, serta gangguan terhadap ketenteraman awam.

Penyerahan memorandum ini disambut oleh wakil Datuk Bandar MBDK yang berjanji akan meneliti kandungan memorandum serta mengambil kira suara penduduk sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

YBrs. Tuan Mohd Zary Affendi Mohd Arif Timbalan Datuk Bandar MBDK menerima memorandum dari wakil penduduk Kampung Raja Uda, ahli jawatankuasa masjid, serta beberapa pertubuhan masyarakat tempatan yang turut menyatakan sokongan terhadap bantahan tersebut.