RTG 2025 – 13 atlet komitmen, terus diperkukuh menuju Podium Olimpik

FOTO BERITA: “Road to Gold (RTG)” Majlis Menandatangani Perjanjian Komitmen & Sidang Media oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 10hb Jun 2025 (Selasa)

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Road to Gold (RTG) yang kedua bagi tahun 2025. Mesyuarat yang berlangsung di Menara KBS ini bertujuan memuktamadkan senarai atlet dan permintaan sokongan bagi Program RTG serta Fast Track untuk tahun 2025.

Antara agenda utama mesyuarat kali ini termasuklah penilaian ke atas permintaan daripada jurulatih dan persatuan sukan bagi atlet RTG dan Fast Track, maklum balas daripada sesi perbincangan bersama atlet, jurulatih dan persatuan dan semakan penggunaan bajet berdasarkan keperluan yang diterima.

Mesyuarat turut disertai wakil-wakil persatuan sukan, jurulatih serta pegawai terlibat, dengan matlamat memastikan perancangan sukan berprestasi tinggi bagi tahun ini diselaraskan dengan keperluan semasa atlet.

Jawatankuasa telah meluluskan permohonan yang dianggap paling relevan, terutamanya dalam aspek sokongan prestasi. Permohonan lain yang masih memerlukan penelitian akan dibincangkan lanjut oleh Sekretariat RTG bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), dan pihak berkepentingan lain.

Menteri turut mengumumkan bahawa atlet skuasy negara, Sivasangari Subramaniam, telah diserap ke dalam Program RTG setelah menunjukkan peningkatan prestasi berdasarkan kedudukan ranking dunia semasa. Bagi empat pemain badminton profesional yang belum disahkan – Goh Sze Fei, Nur Izzuddin, Goh Soon Huat dan Shevon Lai – penyertaan mereka masih dalam proses dimuktamadkan memandangkan komitmen pertandingan dan jadual perjalanan masing-masing. Sekretariat RTG akan mengadakan sesi pertemuan dengan mereka dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Menteri memaklumkan bahawa pemain badminton profesional, Lee Zii Jia, telah membuat keputusan untuk tidak menyertai Program RTG atas sebab-sebab peribadi. Pihak Kementerian dan Jawatankuasa RTG menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam karier profesionalnya.

Usai mesyuarat, seramai 13 atlet hadir untuk menandatangani perjanjian komitmen sebagai tanda sokongan terhadap program ini. Mereka ialah: Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei, Mohd Aniq Kasdan, Sivasangari Subramaniam, Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil

YB Hannah Yeoh menegaskan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan dalam menyokong pembangunan atlet berprestasi tinggi melalui pendekatan bersasar dan berimpak tinggi bagi mencapai matlamat podium emas di peringkat antarabangsa, khususnya Sukan Olimpik.