“Tumpukan perhatian kepada keperluan rakyat di negeri tadbiran Pas, usah ganggu LRT Pulau Pinang”

Adun Pulau Tikus Joshua Woo Sze Zeng membidas gesaan Pas agar peruntukan projek Transit Aliran Ringan (LRT) dipindahkan kepada usaha menaiktaraf Jalan Raya Timur Barat.

“Daripada terus membuat bantahan yang tidak berasas, pemimpin PAS sepatutnya memberi tumpuan kepada keperluan sebenar rakyat di negeri mereka sendiri. Biarlah Pulau Pinang terus mara dengan infrastruktur dan kemajuan yang sewajarnya untuk rakyatnya,” kata Woo yang juga setiausaha publisiti DAP Pulau Pinang.

Beliau menambah bahawa parti komponen Kerajaan Perpaduan pro-projek yang memanfaatkan rakyat

“Kami dalam Kerajaan Perpaduan tidak pernah menentang projek-projek ini yang memanfaatkan negeri di bawah kerajaan PAS. Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan berusaha kuat menyokong projek ini kerana kami percaya semua rakyat berhak menikmati kemudahan dan manfaat ekonomi daripada infrastruktur pengangkutan moden.

“Projek LRT Pulau Pinang bukan sekadar tentang pengangkutan. Ia akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, membantu mengekalkan bakat tempatan, merangsang limpahan ekonomi merentasi pelbagai sektor, dan yang paling penting, menyediakan penyelesaian mampan kepada kesesakan lalu lintas yang semakin buruk di negeri ini yang sedang membangun pesat.

Woo turut mengingatkan bahawa KDNK negeri pimpinan Pas adalah jauh lebih rendah berbanding Pulau Pinang.

“Adalah wajar untuk mengingatkan pemimpin PAS agar memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka sendiri, dan bukannya menyekat kemajuan negeri lain. Pada tahun 2023, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bagi negeri-negeri yang ditadbir PAS jauh ketinggalan:
• Kelantan: RM16,836
• Perlis: RM24,004
• Kedah: RM26,353
• Terengganu: RM31,111

“Sebaliknya, Pulau Pinang mencatatkan KDNK per kapita sebanyak RM72,586 — lebih dua kali ganda berbanding Terengganu dan lebih empat kali ganda berbanding Kelantan.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada AJK Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki yang menggesa kerajaan memindahkan peruntukan projek LRT Pulau Pinang kepada usaha menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dari Gerik ke Jeli.

Tumpuan kepada JRTB timbul ekoran kemalangan ngeri yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris baru-baru ini.

BACA JUGA: Selepas diserang Geng Ustaz, ini pendirian Sanusi terhadap Abdul Hadi