HPPNK 2025 raikan 50 tahun sumbangan warga peladang, penternak dan nelayan

FOTO BERITA: Majlis Pra Pelancaran Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2025 bersama YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Perkarangan Lobi, Wisma Tani Putrajaya. 12hb Jun 2025 (Khamis)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu hari ini merasmikan Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2025 di Wisma Tani, Putrajaya.

Tahun ini, sambutan HPPNK diraikan dengan lebih istimewa sempena ulang tahun jubli emas, menandakan 50 tahun penganjurannya sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 1975.

HPPNK merupakan acara tahunan berprestij anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama jabatan dan agensi di bawahnya, yang menghimpunkan warga peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara. Ia bertujuan menghargai sumbangan mereka dalam memastikan kecukupan dan keterjaminan makanan, serta memacu pembangunan sektor agromakanan negara.

Dengan tema “Kudrat Kami Menjamin Pertiwi”, HPPNK 2025 mengetengahkan semangat serta tanggungjawab golongan peladang, penternak dan nelayan dalam menjamin keselamatan makanan negara demi kesejahteraan rakyat.

Sambutan kali ini akan mempersembahkan 18 segmen utama di bawah empat (4) fokus utama, iaitu Agro Millenia – Menumpukan kepada penglibatan generasi muda dalam sektor agroteknologi.. Cukup dan Terjamin – Menampilkan inovasi dalam memastikan bekalan makanan kekal mampan dan berdaya tahan. Sejahtera MADANI – Menyampaikan mesej kemampanan, hormat dan kesejahteraan berasaskan nilai MADANI. Jualan dan Keusahawanan – Menonjolkan pendekatan Agro MADANI yang berteraskan kesejahteraan dan ehsan.

KPKM terus memberi penekanan terhadap usaha keterjaminan makanan negara dengan meningkatkan pengeluaran domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import. Sambutan ini juga menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan antara komuniti peladang, penternak dan nelayan serta membuka peluang strategik kepada pembangunan perniagaan sepanjang program berlangsung.

Salah satu tarikan utama ialah Jualan Agro MADANI Mega berkonsepkan Makanan Malaysia MADANI, yang menyajikan lebih 300 menu makanan tempatan, termasuk sajian ikonik Sabah dan makanan viral kegemaran ramai. Jualan ini turut menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Pelbagai pameran teknologi dan inovasi turut akan disediakan, antaranya pameran Teknologi: memperkenalkan teknologi terkini seperti GeoAgro, IoT, dron, hidroponik, robotik, VRT, serta tenaga solar, termasuk inovasi EZGrow™, GreenKit dan Microfarm.

Pengurusan Sisa & Kelestarian: Menampilkan teknologi pengkomposan, baja organik, dan kesedaran MYSaveFood, termasuk inovasi enzim Bromelin dan amalan pertanian lestari.

Segmen Tanaman dan Padi: Memfokuskan kepada durian, kelapa, sayuran fertigasi, estetika kawasan padi, dan varieti padi bukit.

KPKM mengalu-alukan penyertaan semua lapisan masyarakat untuk turut serta memeriahkan sambutan HPPNK 2025 yang penuh aktiviti menarik dan bermanfaat. Diharapkan sambutan ini menjadi pemangkin semangat baharu kepada warga peladang, penternak dan nelayan, serta mampu menarik minat golongan muda menceburi sektor agromakanan sebagai kerjaya masa depan yang berdaya saing dan membanggakan.

Dalam sidang media, beliau melahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana dapat bersama-sama dalam majlis simbolik yang menandakan detik permulaan kiraan 50 hari menjelang sambutan penuh HPPNK 2025 yang bakal diadakan dari 1 hingga 3 Ogos di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah. Majlis perasmian HPPNK akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.

Mengimbau sejarah penganjurannya, YB Mohamed Sabu menyatakan bahawa sambutan HPPNK buat pertama kali telah diadakan pada 6 Ogos 1975 di perkarangan Bangunan Parlimen dan dirasmikan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia. Tahun ini, sambutan tersebut lebih istimewa kerana menandakan ulang tahun Jubli Emas – genap 50 tahun penganjurannya.

Tema HPPNK 2025, “KUDRAT KAMI MENJAMIN PERTIWI”, disifatkan sebagai sangat bertepatan dan menyentuh jiwa kerana menggambarkan peranan besar golongan peladang, penternak dan nelayan dalam menjamin keselamatan makanan negara demi kesejahteraan rakyat.

YB Mohamed Sabu menyeru seluruh rakyat Malaysia agar hadir memeriahkan HPPNK 2025 di Kota Kinabalu dan menjadikannya sebagai platform memperkukuh semangat warga agromakanan negara serta menarik minat generasi muda menceburi bidang ini sebagai kerjaya yang membanggakan.

YB Mohamed Sabu menyeru seluruh rakyat Malaysia agar hadir memeriahkan HPPNK 2025 di Kota Kinabalu dan menjadikannya sebagai platform memperkukuh semangat warga agromakanan negara serta menarik minat generasi muda menceburi bidang ini sebagai kerjaya yang membanggakan.