‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025

FOTO BERITA: Sidang Media Mingguan YB Datuk Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi. Turut hadir bersama YB Menteria Pengangkutan dan YB Menteri Kerja Raya di Lobi Dewan Cendekiawan, Angkasapuri, Kuala Lumpur

Tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ telah diumumkan sebagai tema rasmi bagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025), seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2025, YB Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media mingguannya hari ini. Logo sambutan tahun sebelumnya akan dikekalkan sehingga tahun 2027.

“Penekanan pada ‘Rakyat Disantuni’ menggambarkan tekad kerajaan untuk terus mendahulukan kebajikan rakyat dalam setiap dasar dan inisiatif,” ujar Datuk Fahmi.

Sambutan Bulan Kebangsaan akan dimulakan dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 pada 27 Julai di Johor. Acara kemuncak iaitu Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan akan berlangsung pada 31 Ogos di Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia akan diraikan pada 16 September di Pulau Pinang.

Pelbagai aktiviti dan program telah dirancang sepanjang Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme, termasuk Quran Hour, Kira Detik Merdeka, 1Rumah 1Jalur Gemilang, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku, PENTARAMA Merdeka@HOHO, Wayang Pacak Merdeka, RIUH Merdeka dan pelbagai lagi.

Portal rasmi Merdeka360, yang menjadi platform utama promosi HKHM 2025, turut diberikan nafas baharu dengan penambahan menu ‘Kalendar Acara’, memaparkan maklumat terkini program di peringkat nasional, kementerian, negeri dan daerah. Panduan penggunaan logo rasmi turut boleh didapati di portal ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook; Menteri Kerja Raya, YB Datuk Sri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; dan Ketua Pengarah Penerangan, YBrs. Puan Julina Johan.

