PM amat dukacita nahas pesawat Air India
Perdana Menteri menzahirkan perasaan dukacita mendalam susulan tragedi pesawat Air India Penerbangan 171 terhempas berhampiran Ahmedabad, India, petang tadi waktu Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, beliau merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga serta insan tersayang mangsa terbabit.
“Saya amat dukacita apabila menerima berita mengenai nahas tragis pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad.
“Kami turut bersedih atas kehilangan yang dialami oleh India, dan menyatakan solidariti penuh ketika usaha bantuan sedang dijalankan.
“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama mangsa serta semua yang sedang meratapi kehilangan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Dilaporkan, sebuah pesawat Air India yang membawa 242 penumpang serta kru menuju ke Lapangan Terbang Gatwick di United Kingdom, terhempas pada 1.40 petang (4.10 petang waktu Malaysia) sejurus setelah berlepas dari bandar Ahmedabad.
Sekurang-kurangnya 30 mayat sudah ditemui setakat ini di dalam sebuah bangunan di lokasi pesawat itu terhempas.
Ramai lagi mangsa masih terperangkap selepas pesawat malang itu terhempas ke atas sebuah bangunan asrama doktor.

Sementara itu, Economic Times melaporkan lebih 100 mayat telah dihantar ke hospital, menggambarkan peningkatan bilangan mangsa ditemukan.
Laporan live blog dari New Indian Express pula menyebut kira-kira 60 mayat, termasuk 10 mayat ditemui di bangunan asrama doktor itu.
BACA JUGA Malaysia negara terbaik untuk didiami, ini 10 perkara menarik disebut Dr Zakir Naik