Tak tolak profesional tapi wajib terima ulama, kata Mursyidul Am Pas

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin menegaskan sekiranya presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur maka penggantinya mestilah dari golongan ulama.

Justeru itulah Pas wajib menerima kepimpinan Hadi selagi Hadi sedia berkhidmat.

“PAS tak boleh sekadar baca kitab hukum hakam, tapi mesti juga faham suasana politik. Bukan tolak profesional, tapi kepimpinan mesti dari ulama, dan profesional boleh rujuk kepada mereka dalam suasana hari ini,” tegas beliau, lapor Harakah Daily.

“Selagi Tuan Guru Abdul Hadi bersedia, kita terima. Bukan macam parti lain tukar Perdana Menteri macam tukar baju,” sinis beliau yang sememangnya berpengalaman lama di dalam gerakan Islam dan politik.

Hashim juga risau berkenaan dengan keuzuran Hadi tetapi mengatakan kepimpinan Hadi masih diperlukan.

“Saya tak dengar sendiri. Tapi bulan lepas ada dia (Tuan Guru Abdul Hadi) telefon, sembang pasal dia keluar masuk wad. Ada orang rasa kesian sebab dia dalam keadaan bukan perlu dipimpin untuk berjalan, tetapi perlu diusung untuk menghadiri majlis.

“Yang pentingnya orang PAS secara keseluruhannya masih perlu kepada kepimpinan dia, walaupuan fizikal sangat uzur keluar masuk wad. Di sini saya rasa pandangan ahli kita yang pertama perlu terus, ada yang rasa dia perlu rehat memandangkan isu kesihatan,” jelas beliau.

“Kalau saya, kalau sakit macam tu, saya tak buat apa dah. Tapi dia masih beri kuliah Jumaat, dan kalau kita ikuti pun, tak nampak beza masa sihat atau sakit. Fikrah dan penyampaian dia masih konsisten,” ujarnya.

“Kita tak suruh dia berhenti, tapi kalau kerana keuzuran, jangan pula larang dia rehat. Kalau boleh terus, kita terus. Kalau tidak, kita guna fikrah dia,” tambahnya.

Terdapat khabar angin bahawa Hadi akan berundur pada tahun ini sempena Muktamar Tahunan Pas ke-71.

Ia lantas membuka persoalan berkenaan siapa yang layak menggantikan Hadi.

Ini kerana timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bukanlah lulusan dari Timur Tengah yang fasih di dalam Bahasa Arab.

Selain itu golongan ulama yang dikenali dengan nama Geng Ustaz bakal dicabar oleh Geng Publika.

Geng Publika merujuk kepada kumpulan professional di dalam Pas.

BACA JUGA: Krisis Pas: Mampukah Geng Publika mengalah kepada Geng Ustaz?