Sistem mekanikal bas dalam keadaan baik, nahas berpunca dari faktor lain

Laporan awal teknikal Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal termasuk sistem brek bas persiaran yang terbabit dalam nahas meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata ia termasuklah ‘brake lining’ dan ‘brake drum’ bagi semua gandar bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, 9 Jun lalu itu.

Beliau memaklumkan, tidak ada sebarang ketidakseragaman pada brake drum mahupun kenipisan pada pelapik brek (brake lining).

Jelasnya, tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan.

“Dari pemeriksaan fizikal tayar, didapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Komponen bahagian stereng dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan,” menurutnya dalam kenyataan.

Sistem mekanikal

Anthony berkata, berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan.

Oleh yang demikian, katanya, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya.

Sementara itu, beliau berkata langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.

Tegasnya, keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.

“Kepada semua keluarga mangsa, MOT merakamkan ucapan takziah dan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang,” tambahnya lagi.

BACA JUGA PM umum peruntukan RM30 juta kepada wartawan, untuk apa?