Laung ‘Turun Anwar’ tapi PN sendiri tak ada calon PM
Ketua Angkatan Muda Harapan, Woo Kah Leong menyelar tindakan Pemuda Pas yang menggantikan himpunan membantah Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) kepada himpunan ‘Turun Anwar’.
Woo berkata, langkah Pas untuk mengadakan himpunan sedemikian adalah helah politik untuk menonjolkan dominasi dalam kalangan parti-parti Perikatan Nasional (PN).
Beliau percaya himpunan tersebut hanyalah sandiwara politik untuk memperkukuhkan kedudukan Pas di samping mengekang pengaruh Bersatu.
“Sebelum ini Pemuda Pas beria-ria untuk membantah PSB biarpun akta tersebut belum pun dibentang atau dibahas dalam Parlimen. Namun kini mereka bertukar wajah dan fokus menyerang PMX.
“Ini membuktikan bahawa Pas adalah dangkal dalam perihal dasar awam dan hanya berminat untuk menunggang isu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut menyindir tindakan melaungkan “Turun Anwar” sebagai sesuatu yang melucukan, kerana gabungan PN sendiri masih belum sepakat siapa calon Perdana Menteri mereka sekiranya diberi kuasa.
“Yang lawak adalah apabila Pemuda Pas melaungkan slogan “Turun Anwar”. Ketiga-tiga parti dalam kalangan PN masih gagal untuk mencapai kata sepakat mengenai calon Perdana Menteri bagi PN.
“Adakah PN sudah mempunyai pendirian rasmi untuk mengangkat Hadi Awang ataupun Muhyiddin Yassin mahupun Hamzah Zainudin sebagai Perdana Menteri?,” soalnya.
Beliau berkata, PN kini berpecah-belah, tidak mempunyai dasar pentadbiran yang menyeluruh sama ada di peringkat persekutuan mahupun dalam empat negeri yang ditadbir, dan mereka tidak mampu untuk membuat keputusan tentang calon Perdana Menteri.
Justeru sarannya, daripada melaungkan slogan “Turun Anwar”, lebih baik PN mengadakan mesyuarat dalaman untuk membuat keputusan tentang calon Perdana Menteri bagi PN.
“Di samping menghormati hak rakyat untuk berhimpun, AMH sekali lagi menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak memerlukan taktik politik PAS sebegini yang tidak berniat untuk membela nasib rakyat,” ujarnya.
BACA JUGA Terkini polis siasat dakwaan 47 jemaah haji dikurung, dipaksa redah laluan bahaya