AMANAH sokong Iran, guna bahasa yang difahami Israel
OLEH KHALID SAMAD
Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap Iran yang telah dimulakan pada 14hb Jun 2025. Ini adalah kerana ianya merupakan serangan tanpa alasan atau sebab yang kukuh selain kekhuatiran Israel terhadap kemampuan nuklear Iran yang semakin meningkat.
Iran berhak meningkatkan kemampuan nuklearnya, lebih-lebih lagi apabila ianya dilakukan di bawah pemantuan agensi nuklear antarabangsa. Tidak seperti Israel, Iran mematuhi peraturan antarabangsa dan membenarkan pemeriksaan terhadap fasaliti nuklear miliknya.
Keangkuhan Israel dalam menganggap ianya berhak menentukan dan menghadkan kemampuan nuklear negara lain, sambil Israel sendiri tidak membenarkan pemeriksaan ke atas fasaliti nuklearnya sendiri oleh badan antara bangsa adalah jelas satu keadaan yang tidak boleh diterima.
Dari sejak penubuhan negara haram Israel, ia telah mewujudkan ketidakstabilan dan membawa kemusnahan ke rantau Timur Tengah. Negara-negara seperti Iraq dan Syria dihancurkan demi Israel oleh sekutu-sekutunya. Gaza sedang dimusnahkan melalui proses genocide yang terang dan nyata. Namun pada masa yang sama Israel mendakwa ianya diancam sedangkan ianya yang mengancam.
AMANAH menuntut supaya Israel hentikan tindakan liarnya yang tidak bertamadun dan melanggar segala prinsip keadilan dan kemanusiaan yang ditunjukkanya selama ini. Israel perlu belajar cara menjadi sebuah negara yang menganjurkan kedamaian dan membawa kebaikan kepada rantau ini sebelum ianya berhak dihormati.
Iran berhak serang balas Israel
AMANAH berpandangan Iran berhak menyerang balas setelah ianya diserang Israel. AMANAH bangga dengan kemampuan Iran untuk bertindak balas dan menyanjung sikapnya yang sanggup menghentikan serangan terhadap Israel jika Israel menghentikan serangan ke atas Iran.
Ini menunjukkan sikap cintakan perdamaian walaupun mampu bertindak ganas di luar jangkaan semua pihak termasuk Amerika Syarikat.
AMANAH menyeru semua pihak, khususnya Amerika Syarikat, Britain dan Perancis supaya tidak campur tangan dalam perang yang telah dimulakan Israel. Wajah fasis dan zalim sebenar Israel terdedah melalui tindakannya di Gaza dan serangannya ke atas Iran.Ini merupakan masa yang paling sesuai untuk Israel ditekan supaya bertindak adil dan menjadi negara demokratik yang sebenar atau Israel akan lenyap dari muka bumi.
AMANAH menyeru negara-negara Arab yang berjiranan dengan Iran dan Israel untuk mengiktiraf hak Iran bertindak balas dan sekiranya kamu tidak mampu menyokong samada Iran ataupun rakyat Gaza, maka jangan sekali-kali menyebelahi dan membantu Israel! Seharusnya hubungan diplomatik dan perniagaan ditamatkan segera demi membantah sikap ‘beligerent’ atau ganas yang ditunjukkan Israel.
Iran menggunakan satu-satunya bahasa yang difahami Israel, iaitu bahasa kekuatan dan ketenteraan. Dengan itu semoga Israel faham, selagi ianya sebuah negara fasis dan apartheid, ianya berada di silap benua. Maka berambuslah ia darinya dan bolehlah ia berpindah ke mana-mana negara yang lebih sesuai dengan kamu.
KHALID SAMAD ialah Pengarah Komunikasi AMANAH.