Disyaki terlibat penipuan pakej haji, warga emas direman empat hari

Polis berjaya mendapatkan perintah reman terhadap seorang lelaki berusia 67 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes 47 jemaah Malaysia yang diperdaya ejen haji.

Majistret Fairuz Shuhada Amran membenarkan suspek direman selama empat hari bagi membolehkan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Media melaporkan, suspek yang berpakaian serba putih dan berkopiah tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kereta polis.

Semalam, media melaporkan kumpulan jemaah yang menjadi mangsa penipuan pakej haji yang dikaitkan agamawan terkenal selamat tiba di tanah air semalam.

Difahamkan, kesemua mangsa terperdaya dengan janji manis, namun realitinya mereka dipaksa meredah laluan berbahaya dan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi ke atas jemaah yang tiada visa haji.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor semalam selepas laporan polis dibuat oleh waris mangsa di Mantin.

“Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka. Siasatan awal mendapati mereka kerugian sebanyak RM81,000.

“Setiap mangsa membayar sebanyak RM27,000 kepada suspek untuk menyertai pakej haji yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia ke 103 di sini, hari ini.

Menurut beliau, polis giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada penipuan itu dilakukan oleh individu atau syarikat.

Polis dijangka memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan dalam masa terdekat.

BACA JUGA SPRM bongkar NGO ‘songlap’ RM26 juta dana orang ramai, modus operandi seperti Aman Palestin