Kalau tambah kerusi, PN boleh menang Selangor, tak?
Para penganalisa poitik tidak optimistik dengan dakwaan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Azmin Ali bahawa penambahan kerusi di Selangor di dalam pilihan raya akan datang akan meningkatkan peluang Perikatan Nasional (PN) di Selangor.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata faktor demografi pengundi tidak memudahkan PN di beberapa kerusi campuran.
Beliau juga percaya keyakinan ketua PN Selangor itu berpandukan data PRN lepas.
“Kalau mereka dapat 7,000 undi dalam kawasan DUN yang tewas sebelum ini maka dapat menubuhkan kerajaan negeri tetapi hakikatnya ialah berbanding Pahang, PN mempunyai peluang sedikit di Selangor,” katanya, lapor FMT.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada dakwaan Azmin bahawa PN boleh menang 10 kerusi lagi dan merampas pentadbiran Selangor dengan pertambahan kerusi DUN di dalam pilihan raya akan datang.
Dr Mazalan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula mengetengahkan faktor kerjasama BN-PH yang telah berubah sejak pilihan raya lalu.
“Namun selepas dua tahun lebih imej kerajaan perpaduan makin baik dan keyakinan rakyat makin meningkat, penyokong ahli Umno yang menyokong PN sebelum ini akan kembali kepada Umno,” katanya.
“PN mungkin dapat menang kerusi lagi tapi tidak sebanyak daripada PRN lepas,” katanya.
Penganalisis juga menolak kaedah yang diwar-warkan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor Ab Halim Tamuri yang menggesa pengundi Pas dari Pantai Timur yang tinggal di Selangor agar mengundi di situ.
Penganalisis bagaimanapun meragui ia akan berhasil, kerana pengundi berkenaan kemungkinan besar bermastautin di kawasan bandar, di mana kedudukan Pakatan Harapan dikatakan kukuh.
PN menduduki 21 daripada 56 kerusi di DUN Selangor, dan memerlukan 29 kerusi untuk peroleh majoriti mudah.
BACA JUGA: Ada usaha tukarkan presiden Pas?