Terkini JPJ gantung serta merta lesen pemandu bas penyebab nahas UPSI
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengesahkan lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah digantung serta-merta.
Tindakan ini diambil mengikut peruntukan Seksyen 56(4), Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], susulan siasatan yang sedang dijalankan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terbabit, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan.
“Sebagai langkah proaktif demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, penggantungan lesen ini akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan,” ujarnya.
JPJ menegaskan komitmennya untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.