Wanita bukan sekadar kuota, tetapi pemimpin berjiwa rakyat – YB Anfaal

FOTO BERITA: Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025 telah dilancarkan secara rasmi hari ini oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, dalam sebuah majlis penuh simbolik di Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya. Selangor (Foto: SIWANIS)

Majlis Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025 telah dilancarkan secara rasmi hari ini oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, dalam sebuah majlis penuh simbolik di Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Tuan Lau Weng San, barisan EXCO Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor. Bertemakan “Ke Arah Mencapai 50 Peratus Perwakilan Wanita”, SIWANIS 2025 terus memperkukuh aspirasi Negeri Selangor dalam mempercepatkan agenda kepimpinan wanita menerusi platform simulasi persidangan yang berprestij dan berimpak tinggi.

Kini memasuki tahun ketiga penganjurannya, SIWANIS diterajui oleh Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor serta dilaksanakan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS), dengan sokongan strategik Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor. Tahun ini, penyertaan diperluas dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) dan EMPOWER, menjadikan penganjuran lebih inklusif dan meluas.

74 Peserta Wanita dari Seluruh Negara
Seramai 74 peserta wanita berusia 18 hingga 45 tahun dari seluruh Malaysia telah terpilih menyertai dua siri bengkel utama yang memberi fokus kepada pembuatan dasar berlandaskan lensa gender, serta pendedahan mendalam mengenai protokol persidangan Dewan Negeri dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor. Daripada jumlah ini, hanya 56 peserta terbaik akan disaring untuk menyertai sesi lanjutan yang merangkumi lawatan lapangan bersama mentor, syarahan khas, sesi simulasi persidangan dan kemuncaknya perbahasan utama Sidang SIWANIS 2025 pada 12 Ogos di Dewan Negeri Selangor.

Pendekatan Mentor-Mentee diperluas dengan penempatan peserta bersama ADN bermula 14 Julai, bersempena Sidang DUN Selangor dan tenaga pengajar berprofil tinggi, termasuk YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, yang dijangka menyampaikan pengisian khas berkaitan kepimpinan Parlimen.

Objektif Strategik SIWANIS 2025 bertujuan untuk, mencungkil dan membina bakat kepimpinan wanita; menyediakan ruang latihan praktikal dalam dasar dan komunikasi kepimpinan;

Menyokong sasaran minimum 30% penyertaan wanita dalam kepimpinan dan memacu ke arah 50% pembuat keputusan dan memperkukuh jaringan dinamik dalam kalangan pemimpin wanita pelbagai latar belakang.

Dalam ucapan pelancarannya, YB Puan Anfaal menegaskan wanita sekadar memenuhi kuota. Kita mahu bangunkan pemimpin wanita yang berkaliber, kompeten dan berjiwa rakyat. Penganjuran SIWANIS 2025 sekali lagi menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasa wanita, selaras dengan Dasar Wanita Selangor, Rancangan Selangor Pertama dan prinsip Malaysia MADANI.