Alang-alang berdemo Turun Anwar, buat sekali ‘roadshow’ tunjuk calon PM
Pas dicadang untuk membawa sekali calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional (PN) dan kemukakan pelan pentadbiran yang jelas kepada rakyat, dalam himpunan ‘Turun Anwar’ yang akan dilakukan mereka.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid berkata, jika PN benar-benar serius mahu mengambil alih kerajaan, rakyat berhak tahu siapa calon Perdana Menteri mereka, dan apakah dasar ekonomi serta hala tuju negara yang mereka tawarkan.
“Kami dimaklumkan Pemuda Pas bercadang mengadakan himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai ini. Saya ingin mencadangkan kepada mereka bawa sekali calon Perdana Menteri Perikatan Nasional dan kemukakan pelan pentadbiran yang jelas kepada rakyat.
“Lebih baik lagi, lakukan roadshow ke seluruh negara, jangan hanya berhenti pada protes jalanan tanpa naratif.
“Atau sebenarnya, Perikatan Nasional sendiri sedang berdepan perebutan kepimpinan dalaman, hingga tak mampu menamakan satu tokoh yang diyakini rakyat?,” soalnya.
Danial berkata, tanpa memaklumkan siapa bakal PM, laungan untuk Perdana Menteri turun hanyalah retorik kosong, sekadar mengalihkan perhatian daripada kerapuhan dalaman dan kegagalan membina alternatif yang meyakinkan.
“Rakyat Malaysia perlukan kestabilan dan halatuju yang jelas bukan sandiwara kuasa tanpa pelan,” ujarnya.
Terdahulu Pemuda Pas mengumumkan mereka kini mengubah fokus himpunan daripada membantah Agenda Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kepada seruan ‘Turun Anwar’.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi mendakwa semua isu yang berlaku sejak pentadbiran kerajaan MADANI adalah berpunca daripada orang yang bernama Anwar Ibrahim
BACA JUGA Saifuddin kelirukan rakyat dalam isu GST-SST