Bantahan keras terhadap serangan Israel ke atas Iran, Amerika Syarikat tidak boleh bersubahat dalam Jenayah Perang – MAPIM

FOTO BERITA: Lawatan Solidariti MAPIM, Parti AMANAH, SEJAGAT NGO-NGO ke Kedutaan Republik Islam Iran di sambut oleh Duta Besar Iran, Valiollah Mohammadi Nasrabadi di Jalan U-Thant, Kuala Lumpur. 17hb Jun, 2025 (Selasa)

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan wakil-wakil pertubuhan masyarakat sivil, parti politik, dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan menzahirkan kecaman dan bantahan keras terhadap serangan biadab yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas wilayah Iran baru-baru ini.

Presiden MAPIM, Cikgu Azmi Abdul Hamid mengatakan tindakan Israel itu disifatkan sebagai pencerobohan haram yang mencabuli kedaulatan Republik Islam Iran, serta satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan ini yang bukan sahaja bersifat provokatif dan ganas, tetapi juga memperlihatkan niat jahat untuk mengheret rantau Timur Tengah ke kancah ketidakstabilan dan konflik yang lebih besar,” kata beliau

Amerika Syarikat turut dikecam kerana didakwa bersubahat dalam jenayah perang ini melalui perlindungan politik, bantuan ketenteraan dan pengaruhnya yang membolehkan Israel bertindak sewenang-wenangnya tanpa dikenakan tindakan tegas oleh masyarakat antarabangsa.

“Tindakan ini tidak akan berlaku tanpa keberanian yang timbul daripada impunitas yang diberikan oleh Amerika Syarikat. Oleh itu, kami menuntut agar Washington bertanggungjawab dan menghentikan sebarang bentuk sokongan terhadap tindakan agresif Israel,” tegasnya lagi.

“Kita tidak boleh berdiam diri. Keamanan global adalah tanggungjawab bersama, dan tiada mana-mana negara boleh diberi lesen untuk membunuh tanpa akibat,” tambah beliau

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Raja Bahrin Shah berkata, bahawa suara tunggal Iran dalam membalas serangan pencerobohan Israel dilihat sebagai penyelamat kepada golongan tertindas di seluruh dunia, terutamanya dalam era moden yang semakin hilang nilai-nilai kemanusiaan.

“Iran kini menjadi satu-satunya suara keberanian yang bermaruah di rantau yang ketandusan nilai kemanusiaan, meskipun dipenuhi kekayaan dan kemewahan. Ini mungkin harapan terakhir bagi rantau ini dan seluruh umat manusia yang sedang lemas dalam gelombang kemunafikan dan ketidakpedulian,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam pertemuan solidariti di Kedutaan Republik Islam Iran,

Gabungan tersebut turut menyeru masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, agar menyuarakan bantahan secara terbuka dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan segera terhadap Israel, demi memelihara keamanan dan keselamatan serantau serta mengelakkan konflik berskala besar.

Sebagai negara yang mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa, Malaysia diseru agar mengambil pendirian lebih tegas dan aktif dalam memimpin suara dunia Islam serta negara-negara membangun menentang keganasan negara yang disokong kuasa besar.

Serangan ketenteraan Israel ke atas Iran, yang disifatkan sebagai pencabulan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip kedaulatan negara.

Serangan ketenteraan Israel ke atas Iran, yang disifatkan sebagai pencabulan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip kedaulatan negara.

Kerajaan Amerika Syarikat bersubahat secara langsung dalam jenayah perang Israel melalui perlindungan diplomatik, pembiayaan ketenteraan, dan tindakan menyekat usaha Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan terhadap Israel.

Dasar ‘Sokongan Besi’ oleh Amerika Syarikat telah membolehkan Israel bertindak sewenang-wenangnya, mereka menuntut agar Washington menghentikan segera segala bentuk bantuan ketenteraan dan perlindungan diplomatik kepada Israel, sambil menggesa masyarakat antarabangsa termasuk NAM, OIC, dan ASEAN agar mengambil pendirian tegas untuk mencegah konflik serantau yang lebih besar.

Gabungan itu juga menyatakan solidariti penuh terhadap rakyat dan kerajaan Iran, yang telah lama menjadi mangsa sekatan, sabotaj dan serangan yang didakwa dirancang oleh pakatan AS-Israel.

Terdahulu pertemuan solidariti ke Kedutaan Republik Islam Iran dihadir selain Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Raja Bahrin Shah aktivis Palestin, Tian Chang, Dr Chandra Muzaffar, serta Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Dalam pertemuan dengan Duta Besar Iran, Valiollah Mohammadi Nasrabadi wakil-wakil menyampaikan mesej solidariti rakyat Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Iran, susulan serangan ketenteraan oleh rejim Zionis Israel yang semakin agresif di wilayah rantau itu. Delegasi telah menyerahkan memorandum bantahan rasmi kepada pihak kedutaan, sebagai simbol penolakan terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan jenayah perang.
