Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara didakwa 20 pertuduhan terima rasuah, kereta mewah

Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara didakwa atas 20 pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga kereta mewah berhubung projek tambak laut di Melaka.

Tertuduh, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Ali sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa dengan 17 pertuduhan, menerima wang tunai RM5,000 hingga RM20,000 dengan jumlah keseluruhan RM235,000 daripada seorang pengarah syarikat bergelar Datuk.

Kereta mewah yang didakwa diterimanya sebagai suapan adalah BMW model 730Li, Land Rover model Range Rover dan Bentley model Flying Spur.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan Bersatu itu didakwa melakukan kesalahan di dua premis masing-masing di Glenmarie dan Sungai Buloh antara Januari 2017 hingga 20 Januari tahun ini.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

BACA JUGA Skandal rasuah lesen mineral di Sabah: ADUN hadir beri keterangan, seorang lagi?