Peranti pengehad kelajuan: Jepun & Korea Selatan buktikan kemalangan kurang mendedak
OLEH A. ZAHID
Kemalangan tragis yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI di Lebuhraya Timur–Barat baru-baru ini menjadi titik hitam yang menyedarkan negara.
Ia bukan sekadar satu insiden tragis, tetapi mesej jelas bahawa kelemahan dalam kawalan keselamatan kenderaan berat perlu ditangani secara tuntas.
Langkah tegas selepas tragedi
Susulan insiden tersebut, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan pelaksanaan mandatori peranti pengehad kelajuan (Speed Limiter Device, SLD) bagi semua kenderaan berat melebihi 3,500kg, termasuk bas ekspres dan lori.
Pelaksanaan bermula 1 Oktober 2025.
Kenderaan yang didaftarkan sebelum 2015 dan memiliki sistem pengehad kelajuan dalam unit kawalan elektronik (ECU) diwajibkan mengaktifkannya.
Sementara itu, bagi kenderaan yang tiada sistem sedia ada, pemasangan secara retrofit akan diwajibkan mulai Julai 2026.
Langkah ini bukan reaksi sementara. Ia adalah dasar jangka panjang berpandukan bukti global yang menunjukkan keberkesanan SLD dalam menyelamatkan nyawa.
Jepun dan Korea Selatan: Model rujukan Asia
Di Asia, negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan telah lama melaksanakan pengehad kelajuan sebagai standard keselamatan.
Di Jepun, jumlah kemalangan lori besar di lebuh raya menurun daripada 4,037 kes (2003–2007) kepada 1,927 kes pada 2022.
Ia menunjukkan penurunan lebih 50% dalam tempoh 15 tahun.
Penurunan ini dicapai melalui gabungan SLD, sistem pemantauan GPS, dan penguatkuasaan had kelajuan maksimum 90 km/j.
Korea Selatan pula bukan sahaja menggunakan pengehad kelajuan, tetapi turut memasang perakam data elektronik (EDR) untuk merekod kelakuan pemandu.
Menurut Korea Transportation Safety Authority, pendekatan ini membantu mengurangkan kemalangan kenderaan berat hampir 20% dalam tempoh beberapa tahun pelaksanaan.
Eropah buktikan kejayaan dasar jangka panjang
Di Eropah, penggunaan SLD adalah sebahagian daripada strategi keselamatan jalan raya sejak 1990-an.
United Kingdom misalnya, mewajibkan pengehad kelajuan pada lori artikutasi sejak 1993.
Data menunjukkan kadar kemalangan menurun sebanyak 26% dalam tempoh 12 tahun, daripada 40 kepada 30 kes bagi setiap 100 juta km perjalanan.
Tambahan pula, bilangan pemandu lori yang memandu melebihi had kelajuan turu mendadak daripada 60% kepada hanya 6%.
Kesatuan Eropah pula memperkenalkan teknologi Intelligent Speed Assistance (ISA) yang lebih canggih.
Kajian Majlis Keselamatan Jalan Eropah (ETSC) menunjukkan sistem ISA jenis intervening boleh mengurangkan kematian jalan raya sebanyak 37%.
Sementara itu, model kajian PROSPER oleh Suruhanjaya Eropah mengunjurkan pengurangan kematian sebanyak 19% hingga 50% jika ISA dilaksanakan secara menyeluruh.
Teknologi dan keberanian dasar MADANI
Apa yang dilakukan oleh kerajaan MADANI hari ini ialah melangkah ke hadapan dengan dasar yang proaktif, berasaskan data dan bertumpu pada pencegahan, bukan sekadar reaksi.
Ia menunjukkan kesediaan kerajaan untuk memilih langkah yang mungkin kurang popular dalam kalangan pengendali industri, tetapi benar-benar berpihak kepada keselamatan rakyat.
Malaysia tidak boleh terus menjadi negara yang hanya bertindak selepas berlaku tragedi.
Jika Jepun, Korea dan Eropah boleh membuktikan bahawa teknologi seperti SLD menyelamatkan ribuan nyawa setiap tahun, tiada alasan mengapa Malaysia harus ketinggalan.
BACA JUGA Sekumpulan NGO desak polis siasat pengakuan Yusoff Rawther sebagai penyokong Israel