Pelancaran Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia agenda perpaduan dan reformasi sejahtera dimulakan

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Tuan Hj. Amidi Abdul Manan Pengerusi Penyelaras Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia (GKUM) & NGO-NGO Islam di Hotel Tamu, Kampung Baru, Kuala Lumpur. 18hb Jun 2025, (Rabu)

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 (Rabu) – Satu inisiatif penting telah dilancarkan hari ini oleh gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membina semula asas perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia melalui pelancaran Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia.

Gabungan ini, yang terdiri daripada pelbagai NGO Islam arus perdana serta disokong oleh parti-parti politik utama tanah air, menzahirkan iltizam baharu untuk mempertahankan kepelbagaian, mengangkat kesatuan dan menolak politik kebencian yang memecahbelahkan umat dan rakyat.

Menurut Tuan Hj. Amidi Abdul Manan Pengerusi Penyelaras Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia (GKUM), Malaysia sebagai sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian agama, bangsa dan budaya mesti terus berpegang kepada nilai-nilai keharmonian. Perpaduan rakyat ditegaskan sebagai teras utama yang tidak boleh digugat oleh mana-mana agenda sempit atau retorik politik perkauman, termasuk yang berselindung di sebalik istilah seperti “Payung Besar Kepimpinan Melayu”.

Penyataan Gerakan adalah cinta terhadap agama, bangsa dan negara, pengiktirafan terhadap realiti Malaysia yang majmuk, perpaduan nasional sebagai asas kelangsungan negara dan penolakan terhadap eksploitasi sentimen Melayu-Islam bagi kepentingan politik sempit.

Pelancaran Gerakan ini turut memperincikan lapan teras utama sebagai asas pembinaan masyarakat sejahtera antaranya Keperibadian & kekeluargaan sejahtera – Menyuburkan nilai keinsanan dan keluarga yang harmoni. Politik Sejahtera – Politik yang menyatukan, bebas dari fitnah dan adu domba. Ekonomi Sejahtera – Pengagihan kekayaan negara yang adil, tiada yang tercicir. Sosial Sejahtera – Keadilan sosial dan kualiti hidup yang tinggi untuk semua. Teknologi Sejahtera – Penggunaan teknologi yang membina, selamat dan beretika. Tadbir Urus Sejahtera – Pentadbiran bebas rasuah, cekap dan berintegriti. Persekitaran Sejahtera – Kelestarian alam sebagai tanggungjawab bersama dan Pendidikan Sejahtera – Sistem pendidikan inklusif, bernilai dan membina generasi masa depan.

Gerakan ini digerakkan oleh 10 NGO utama, antaranya, WADAH, IKRAM, ABIM, HALUAN, DPIM, G70, SHURA, PKPIM, SUARA dan ISLAMIA. Gerakan ini turut mendapat sokongan dari parti-parti politik iaitu, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Majlis Agama UMNO Malaysia dan Parti Amanah Negara (AMANAH)

Pelancaran ini turut membawa seruan terbuka kepada seluruh lapisan rakyat – sama ada pemimpin, profesional, ilmuwan, aktivis mahupun masyarakat awam – untuk menyertai agenda besar ini dalam membina sebuah negara Malaysia yang lebih adil, harmoni dan bersatu.

Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia bertekad untuk terus memperluaskan inisiatif ini bersama NGO-NGO, gerakan sivil, institusi akademik dan keagamaan, demi masa depan Malaysia yang sejahtera dan berdaya tahan.