Peluru berpandu Fattah-1 dalam konflik Iran-Israel
Iran mendakwa telah melancarkan peluru berpandu hipersonik yang dinamakan Fattah-1 ke arah Israel dalam serangan yang berlaku pada awal pagi Rabu.
Tindakan ini menyusul selepas pemimpin tertinggi Republik Islam itu, Ayatollah Ali Khamenei, melaungkan seruan jihad dan menggesa agar “tiada belas kasihan” ditunjukkan terhadap Israel.
Walaupun ini merupakan kali pertama peluru berpandu tersebut digunakan dalam episod konflik yang sedang berlangsung antara kedua-dua negara, ini bukanlah kali pertama Iran menggunakan Fattah-1.
Menurut laporan Hindustan Times, sebelum serangan semalam, peluru berpandu Fattah-1 pernah dilancarkan ke arah Baitulmaqdis ketika serangan Iran terhadap Israel pada 1 Oktober 2024.
Apa itu peluru berpandu Fattah-1?
Fattah-1 ialah peluru berpandu balistik jarak sederhana hipersonik pertama Iran, yang dibangunkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Peluru berpandu hipersonik bergerak lima kali lebih laju daripada kelajuan bunyi atau lebih, serta mempunyai keupayaan untuk bermanuver, menjadikannya sukar dikesan oleh sistem pertahanan dan radar.
Dikenali dengan kelajuan tinggi, ketepatan dan keupayaannya untuk mengubah arah semasa penerbangan, peluru berpandu ini berukuran 12 meter panjang dan mampu mencapai jarak sehingga 1,400 kilometer. Fattah-1 menggunakan bahan api pepejal.
Menurut laporan Iran Watch, ia menggunakan sistem pendorong satu peringkat dan boleh membawa bahan letupan seberat 200 kilogram.
Sejarah peluru berpandu Fattah-1
Pada ulang tahun kematian ke-11 Hassan Tehrani Moghaddam, yang dikenali sebagai “bapa peluru berpandu Iran,” pada 10 November 2022, ketua aeroangkasa IRGC Amir Ali Hajizadeh mengumumkan bahawa peluru berpandu balistik hipersonik canggih telah berjaya dibangunkan. Ia digambarkan sebagai “lonjakan generasi utama,” menurut laporan Al Jazeera.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan telah memilih nama ‘Fattah’, yang bermaksud “pembuka jalan”, dan ia telah dilancarkan secara rasmi pada Jun 2023.
Fattah dan konflik Iran-Israel yang berterusan
Israel melancarkan serangan udara ke atas Tehran sebelum pagi Rabu selepas mengeluarkan amaran kepada penduduk untuk meninggalkan bandar tersebut demi keselamatan.
Selepas melancarkan peluru berpandu Fattah-1 ke arah Israel, Iran dilaporkan menghantar “gerombolan dron” ke arah Israel, di mana dua daripadanya berjaya dipintas berhampiran kawasan Laut Mati, menurut kenyataan tentera.
Israel mendakwa bahawa serangan mereka telah membunuh komander kanan Iran, Ali Shadmani, serta pendahulunya Gholam Ali Rashid.
BACA JUGA: Pakar sifatkan pencapaian Malaysia dalam WCR 2025 luar biasa, petunjuk ekonomi kukuh