Pencapaian luar biasa ranking daya saing Malaysia hasil komitmen seluruh jentera kerajaan

Pencapaian Malaysia dalam Rangking Daya Saing Dunia (WCR) bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil daripada komitmen berterusan seluruh jentera kerajaan MADANI menerusi pendekatan whole of government dan whole of nation.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, peningkatan kedudukan negara di kedudukan ke-23 berbanding tempat ke-34 tahun lalu, membuktikan reformasi ekonomi dan birokrasi yang membuahkan hasil.

Beliau berkata, kerangka Ekonomi MADANI akan terus memastikan ekonomi negara berada di landasan yang tepat.

“Kejayaan ini juga mencerminkan usaha kolektif  dalam memperkukuh dasar fiskal, mempermudah urusan perniagaan serta mempercepat reformasi penyampaian perkhidmatan awam termasuk lebih 1,000 inisitaif di bawah reformasi kerenah birokrasi

“Sebagai contoh indeks persepsi birokrasi negara telah melonjak 22 anak tangga. Satu isyarat jelas bahawa reformasi sedang menunjukkan hasil yang nyata, bukan sahaja di peringkat nasional tapi diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Pada masa sama Tunku Nashrul berkata, sejak awal pentadbiran, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa kerajaan akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina.

“Pendirian ini diterjemah melalui tindakan dan sebarang teguran akan dilihat sebagai cara untuk menambah baik dan pecapaian hari ini adalah cerminan pendekatan itu,” ujarnya lagi.

Terdahulu Malaysia merekodkan lonjakan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia yang diterbitkan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, kedudukan terbaharu itu adalah pencapaian terbaik negara sejak 2020, mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan.

BACA JUGA Rakyat nikmati manfaat lonjakan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia