Serangan bertalu-talu di seluruh Tehran, rakyat dan tentera Israel pula gelabah bersembunyi
Seorang wartawan melaporkan dari Tehran bahawa serangan bertalu-talu di seluruh ibu negara Iran itu sekitar pukul 2.25 pagi tadi waktu Malaysia.
Tohid Asadi dipetik Al Jazeera berkata, beliau masih boleh mendengar bunyi letupan dalam satu lagi pusingan serangan yang bermula beberapa minit sebelum laporannya diterbitkan.
“Kami menerima laporan mengenai korban.
“Dikatakan bahawa beberapa orang telah cedera akibat serangan terbaharu oleh Israel yang menyasarkan salah satu bangunan terpenting yang berkaitan dengan ketua polis,” katanya, lapor rangkaian berita yang dibiayai oleh kerajaan Qatar itu.
Setakat ini, angka korban akibat serangan Israel ke atas Iran telah meningkat kepada lebih 240 orang, termasuk 70 wanita dan kanak-kanak.
Wartawan berkenaan juga memberitahu beliau masih belum mempunyai butiran lanjut, tetapi serangan Israel di seluruh ibu negara masih berterusan.
“Perlu diingat, ini bukan sahaja berlaku di ibu negara.
“Terdapat laporan dari pelbagai bandar lain yang turut menjadi sasaran serangan Israel,” tambahnya.
Malah, menerusi klip video tersebar, pengganas Zionis turut menyasarkan satu lokasi berhampiran kompleks Bulan Sabit Merah di Iran.
Tempat perlindungan
Sementara itu, tentera Israel (IDF) dilapor berkata, lebih banyak peluru berpandu telah dilancarkan dari Iran.
“Pihak tentera telah menggesa orang ramai di Israel supaya masuk ke tempat perlindungan sementara sistem pertahanan bekerja untuk memintas peluru berpandu tersebut,” memetik Al Jazeera.
Bukan sahaja orang awam Israel, terdapat juga tentera negara haram itu turut bersembunyi di dalam kubu perlindungan semasa berlangsungnya serangan Iran.
Dalam masa sama, IDF melarang sebarang pencetakan atau penerbitan bahan berkaitan lokasi serangan Iran, termasuk peluru berpandu dalam apa jua bentuk dan dron, sama ada di media arus perdana atau dalam talian tanpa kebenaran Penapis Tentera.
Ketua Penapis IDF, Brigedier Jeneral Kobi Mandelblit, dilapor The Jerusalem Post berkata, perintah itu terpakai kepada media yang diterbitkan di dalam dan luar Israel.
Agensi berita Fars dari Iran pula melaporkan bahawa dron pemusnah kubu bawah tanah telah digunakan untuk menyerang negara haram Israel.
BACA JUGA Sekumpulan NGO desak polis siasat pengakuan Yusoff Rawther sebagai penyokong Israel