SST pasti akan ditambah baik, PM komited tangani kegusaran rakyat

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman yakin kerajaan MADANI hari ini adalah kerajaan yang mendengar termasuk kegusaran rakyat mengenai kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau yang dikenali sebagai Altimet berkata, kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan segala suara, pandangan, dan keluhan rakyat.

Menurutnya, dalam usaha untuk menjana pendapatan negara demi masa depan yang lebih kukuh dan berdaya saing, kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan yang paling seimbang menambah hasil negara tanpa membebankan rakyat.

“Perlu saya jelaskan bahawa SST ini pada asasnya adalah cukai yang bersifat progresif dan tidak menyasar kepada golongan berpendapatan rendah.

“Ia dikenakan secara terpilih dan jika terdapat kelemahan atau ketidakselesaan dalam pelaksanaannya, saya yakin kerajaan sedia meneliti dan menambah baik dari semasa ke semasa.

“Sebagai contoh, ada kekeliruan berkenaan cukai ke atas buah-buahan import seperti epal dan
oren yang sebenarnya kita nikmati setiap hari.

“Dalam hal ini, saya yakin kebijaksanaan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyelesaikan kegusaran rakyat,” katanya.

Menerima manfaat

Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Walau bagaimanapun, wujud gesaan agar kerajaan mempertimbang semula pelaksanaan SST sebanyak lima peratus ke atas buah-buahan import seperti oren, epal, pear dan pisang.

Dalam masa sama, Altimet berkata, beliau yakin kerajaan tetap mengutamakan buah-buahan tempatan sebagai pilihan utama rakyat.

“Saya melihat potensi peniaga buah-buahan tempatan akan menerima manfaat tidak langsung apabila kebergantungan kepada import mula berkurang.

“PMX adalah seorang pemimpin yang amat prihatin terhadap nasib rakyat. Percayalah, beliau tidak akan membenarkan dasar atau langkah kerajaan menekan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau menambah SST bukan dasar yang statik dan yakin akan diperhalusi demi kepentingan bersama.

“Kerajaan MADANI bukan kerajaan yang sempurna, tetapi ia kerajaan yang ikhlas berusaha dan sentiasa sedia memperbaiki. Demi Malaysia yang lebih stabil, makmur dan sejahtera,” kata Altimet lagi.

BACA JUGA Rakyat nikmati manfaat lonjakan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia