Sultan Selangor dukacita, titah SIS Forum tidak lagi guna perkataan ‘Sisters In Islam’
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung fatwa bertarikh 31 Julai 2014.
Baginda menzahirkan kekesalan apabila fatwa tersebut didapati tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
Dalam satu kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda senada dengan isi kandungan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini, berhubung keputusan terbaharu itu.
Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan “Islam” dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.
“…(ini) supaya perkataan “Islam” tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” titah baginda.
Sementara itu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak bersependapat dengan sebahagian daripada keputusan mahkamah khususnya yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 hanya terpakai kepada individu tetapi tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi.
MAIS menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan Hukum Syarak.
MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat.
“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” ujarnya.
BACA JUGA Mat Sabu seru rakyat Malaysia sertai Himpunan Tolak Perang esok