AMANAH gesa MAIS failkan permohonan semakan isu SIS

AMANAH menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membatalkan fatwa ke atas Sisters In Islam (SIS).

Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, langkah itu penting bagi mengatasi isu penyelewengan akidah yang dilakukan oleh organisasi seperti yang pernah berlaku ke atas Al Arqam dan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

“AMANAH juga melihat bahawa kes ini telah diputuskan secara majoriti (dissenting) sama ada di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan dengan itu wajar dan mempunyai merit untuk disemak semula,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa sama, beliau berkata, AMANAH turut mencadangkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri menubuhkan jawatankuasa bersama yang turut disertai oleh Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri.

Penubuhan jawatankuasa bersama itu, jelasnya, bagi mengkaji kesan keputusan tersebut memandangkan ia dibuat oleh mahkamah tertinggi (apex court) dalam negara.

Ia termasuk mencadangkan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya kuasa pihak berkuasa agama Islam juga terpakai ke atas pertubuhan sama ada persatuan atau syarikat (artificial persons) supaya kedudukan agama Islam diperkasakan selaras dengan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan semalam.

Dalam keputusan majoriti 3-1 itu, Mahkamah Persekutuan membenarkan sebahagian rayuan SIS, dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa agama di Selangor telah bertindak silap apabila mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Panel empat hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan pertubuhan itu untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan terhadap SIS itu pada 2014.

Walau bagaimanapun, beberapa laporan media tertentu dilihat memberi gambaran bahawa Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sepenuhnya Fatwa Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama 2014.

Susulan itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan bahawa pembatalan fatwa Selangor hanya berlaku pada aspek-aspek yang melangkaui bidang kuasa perlembagaan negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia.

Menurut PPMM, bahagian fatwa yang disahkan adalah perenggan pertama fatwa iaitu “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”.

Turut kekal sah ialah perenggan empat fatwa, yang menyatakan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam”.

BACA JUGA Fatwa Selangor tidak dibatalkan sepenuhnya, ini penjelasan peguam Muslim wajib anda tahu