Sah pengarah cawangan khas Bukit Aman, Khalid Ismail Ketua Polis Negara baharu

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Mohd Khalid Ismail sah dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu ke-15.

Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bakal menamatkan kontraknya pada 22 Jun ini selepas dua tahun menerajui tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kekal disandang Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Saifuddin berkata, pelantikan Mohd Khalid adalah termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Kerajaan Madani ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Ismail atas pelantikan ini,” katanya.