Penduduk Perlis, Kedah dan Sabah paling ramai guna bantuan SARA

Pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus menunjukkan impak positif apabila lebih 4.8 juta daripada 5.4 juta penerima telah memanfaatkan penggunaan MyKad bagi membeli barangan keperluan asas.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kadar penggunaan tertinggi direkodkan di Perlis dengan 94 peratus.

Ia diikuti Kedah dan Sabah masing-masing 93 peratus, manakala Pulau Pinang mencatatkan kadar 88 peratus.

“Pihak kementerian akan terus mempergiat kempen kesedaran bagi memastikan rakyat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disediakan kerajaan untuk meringankan beban kewangan mereka.

“Malah, jumlah penerima program ini juga telah ditingkatkan secara signifikan, daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang bermula April lepas,” katanya kepada media selepas menghadiri Program SARA Kementerian Kewangan bersama penerima SARA di sebuah pasar raya besar hari ini.

Beliau berkata, kadar penggunaan yang tinggi, khususnya di Perlis, Sabah dan Kedah, membuktikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif berkenaan yang turut disokong pelbagai usaha promosi di peringkat negeri.

Tambahnya, Pulau Pinang merekodkan 293,000 penerima dengan 88 peratus daripada mereka telah menggunakan MyKad untuk membuat pembelian.

Beliau turut memaklumkan, bermula 1 Mei lalu, kategori barangan asas yang dibenarkan telah diperluas kepada 14 jenis termasuk produk kebersihan rumah dan diri, ubat-ubatan serta peralatan persekolahan seperti pakaian dan kasut.

“Selain itu, kadar maksimum bantuan SARA bagi tahun 2025 turut dinaikkan kepada RM2,100, berbanding RM1,200 pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 75 peratus,” katanya.

Secara keseluruhan, jumlah bantuan di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah ditingkatkan kepada RM13 bilion tahun ini, menjadikannya peruntukan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara.

BACA JUGA Pengarah Hospital Serdang kongsi keadaan terkini kesihatan PM