Isteri Premier Sarawak meninggal dunia

Isteri kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, iaitu Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tuanku Haji Bujang meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada jam 3.34 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching pada jam 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petrajaya.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak sebentar tadi.

Juma’ani, 76, mendirikan rumah tangga dengan Abang Johari pada 26 Februari 1977 dan dikurniakan dua anak iaitu Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan.

Ayah Juma’ani iaitu Tuanku Bujang Tuanku Othman, pernah berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kedua antara 2 April 1969 hingga 2 April 1977.

BACA JUGA Negeri paling popular dalam kalangan pelancong tempatan…