Kecewa dengan MP Pasir Mas, timbalan menteri kirakan bil elektrik baru
AKMAL NASIR
Saya kecewa dengan cara kiraan bil elektrik YB Fadhli Shaari. Tak mungkin Pak Ali yang menggunakan elektrik sebanyak 1,800 kWH hanya dicaj RM480.
Disebabkan gaya YB Fadhli seperti tidak pernah membayar bil elektrik, jadi saya bantu beliau kirakan iaitu penggunaan elektrik 1,800 kWH akan dicaj RM1,167.87 dengan menggunakan tarif sedia ada.
Saya tak sarankan YB Fadhli untuk bantu kirakan anggaran bil elektrik orang lain lagi kerana kiraaannya menyimpang jauh dan dikhuatiri menyebarkan ‘ajaran sesat’.
Saya juga kirakan anggaran bil elektrik Pak Ali dengan menggunakan jadual tarif yang baharu yang akan diimplementasi bermula 1 Julai beserta dengan anggaran AFA. Hakikatnya, nilai ini bergantung kepada Automatic Fuel Adjustment (AFA) yang mencerminkan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing secara real live.
Berbanding kaedah sebelum ini yang menggunakan anggaran harga kos bahan api dan hanya disemak enam bulan sekali melalui ICPT, kaedah ini jauh lebih telus dan mencerminkan kos sebenar pengguna.
Tambahan, penggunaan 600kWh ke bawah akan dikecualikan retail charge dan SST 8%. Penggunaan bawah 1000kWh akan menerima rebat insentif kecekapan tenaga.
Untuk konteks, penggunaan 600kWh adalah bersamaan bil elektrik RM216 dengan anggaran pengiraan jadual tarif baharu atau RM223.50 dengan pengiraan jadual tarif sedia ada.
Pokoknya, kaedah ini akan lindungi 85% pengguna keseluruhan sekiranya kadar penggunaan elektrik mereka masih sama.
TNB juga akan mengeluarkan kalkulator simulasi bagi pengiraan bil elektrik dengan menggunakan jadual tarif yang baharu.
Saya sekali lagi sarankan untuk kita tidak terpengaruh dengan pemesongan yang cuba dilakukan oleh pembangkang, sebaliknya rujuk simulasi kiraan yang jitu sekaligus kita dapat juga rancang penggunaan tenaga yang cekap dan berhemah.
AKMAL NASIR ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.