169 Mangsa rugi RM10 juta melabur mesin layan diri, MHO serah aduan kepada SSM

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) melibatkan aduan terhadap tiga syarikat yang disyaki menawarkan pelaburan dalam skim kepentingan di bawah pemantauan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Menara SSM KL Sentral, Kuala Lumpur. 23hb Jun 20250 (Isnin)

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2025 – Pertubuhan Masyarakat Hati Nurani (MHO) hari ini tampil mewakili seramai 169 orang pengadu yang mendakwa menjadi mangsa kepada skim pelaburan tidak berlesen yang disyaki tidak sah dan berunsur penipuan, melibatkan tiga syarikat berbeza. Nilai kerugian keseluruhan yang dialami mangsa dianggarkan mencecah RM10,040,239.00.

Mangsa-mangsa, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas dan golongan berpendapatan sederhana, hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyerahkan aduan rasmi serta menuntut siasatan menyeluruh dijalankan ke atas skim pelaburan yang melibatkan mesin layan diri minuman ringan, mesin kopi dan mesin layan diri makanan dan minuman ringan

Menurut MHO, ketiga-tiga syarikat berkenaan dipercayai telah memperdaya mangsa dengan janji pulangan lumayan, namun selepas pelaburanc dibuat, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan apabila mangsa menuntut penjelasan. Para mangsa kini mendakwa bahawa skim pelaburan tersebut mungkin tidak wujud sama sekali.

Berdasarkan nasihat undang-undang yang diterima, para pelabur percaya bahawa skim pelaburan tersebut memenuhi ciri-ciri Skim Pelaburan Tidak Sah seperti diperuntukkan dalam Seksyen 4 Akta Skim Kepentingan 2016, yang memperjelas bahawa sesuatu skim adalah dianggap sebagai skim pelaburan jika pelabur

Antaranya tidak mempunyai kawalan harian ke atas operasi, menyumbang wang sebagai balasan untuk hak terhadap keuntungan, aset atau penghasilan, dan mengharapkan pulangan daripada usaha penganjur atau pihak ketiga.

Menurut Dato’ Hishamuddin, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 3 akta yang sama, individu atau syarikat yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, denda sehingga RM50 juta, atau kedua-duanya sekali.

“Kami menyeru agar SSM menyiasat kes ini dengan penuh ketelusan dan ketegasan. Kerugian besar ini bukan sahaja memberi kesan kewangan kepada para mangsa, tetapi juga emosi dan mental mereka. Sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak bagi menghentikan penularan skim pelaburan palsu ini.” katanya

Para mangsa mengharapkan tindakan segera oleh SSM bukan sahaja untuk mendapatkan keadilan, tetapi juga untuk melindungi lebih ramai rakyat Malaysia daripada terus menjadi mangsa kepada skim pelaburan mencurigakan yang makin berleluasa.

MHO dan mangsa turut menyeru kepada orang awam agar lebih berhati-hati dan sentiasa menyemak latar belakang syarikat atau skim pelaburan dengan pihak berkuasa seperti SSM dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang pelaburan.
