Hadapi 13 pertuduhan amang seksual fizikal pelajar, bekas pengetua dipenjara 15 tahun
Seorang bekas pengetua di Kuala Terengganu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun selepas didapati bersalah atas 13 pertuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya.
Tertuduh, Rosli Abd Rahman, 60, didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun lapan bulan.
Mengikut pertuduhan, bekas penjawat awam itu turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.
Lapor BH, semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang antara November 2020 hingga November 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.
Warga emas berkenaan turut didakwa membabitkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (1) (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) (a) dan lima tahun penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a), 14(c) dan 14(d) AKSTKK 2017.
Bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2)(f), tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.
Semua hukuman penjara itu bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama 15 tahun selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli turut membenarkan penangguhan hukuman tertuduh sementara menunggu rayuan dan jaminan dinaikkan sebanyak RM40,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Rahman Razak.
BACA JUGA Berang pasal salah letak ubat, tergamak guna perkataan ini untuk suami