Langgar pelbagai syarat himpunan, polis siasat peserta Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0

Polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa individu yang terlibat dalam Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0, susulan pelbagai pelanggaran undang-undang yang dikesan sepanjang acara tersebut berlangsung pada 21 dan 22 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, walaupun perhimpunan itu dianjurkan atas dasar kebebasan bersuara, penganjur didapati gagal mematuhi kebanyakan syarat yang telah ditetapkan oleh polis.

“PDRM tidak memberikan kelulusan, sebaliknya hanya memberikan maklum balas terhadap notis pemberitahuan oleh penganjur.

“Dalam kes ini, 15 syarat telah ditetapkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, namun banyak syarat tidak dipatuhi,” katanya dalam sidang media semalam.

Menurut beliau, syarat-syarat tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan awam serta mengelakkan gangguan terhadap ketenteraman masyarakat.

Beberapa insiden turut dilaporkan berlaku semasa perhimpunan, termasuk tindakan membakar bahan di tempat awam, membawa objek berbahaya, serta penggunaan simbol dan karikatur berunsur provokatif termasuk karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beberapa insiden berlaku semasa perhimpunan yang sepatutnya tidak terjadi, antaranya membawa bahan berbahaya, unsur hasutan, pembakaran di tempat awam serta penggunaan simbol atau gambar provokatif,” ujarnya.

Susulan itu, polis telah membuka tiga kertas siasatan melibatkan sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Sehingga kini, enam laporan polis telah diterima berkaitan dengan penganjuran himpunan tersebut.

Mengulas dakwaan berkaitan kehadiran peserta yang bukan terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jauteh menjelaskan bahawa Akta 736 membenarkan mana-mana warganegara Malaysia berumur 15 tahun ke atas untuk menyertai perhimpunan aman.

“Siasatan sedang dijalankan terhadap penglibatan individu lain termasuk kumpulan tertentu yang memakai baju putih, bagi mengenal pasti kaitan mereka dengan kumpulan mahasiswa dikenali sebagai Suara Mahasiswa,” katanya.

BACA JUGA Rating PMX meningkat, kebencian menurun