‘Mungkin buat silap tapi masa depan pelajar UMS lebih penting’

Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar tiada tindakan dibuang daripada meneruskan pengajian terhadap pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terbabit dalam insiden ketika perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0, 21 Jun lalu.

Pesanan itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menerusi Facebook, susulan perhimpunan di Kota Kinabalu yang menyaksikan terdapat peserta bertindak membakar karikatur Perdana Menteri.

“Perdana Menteri berpesan agar pelajar UMS terlibat dalam insiden baru-baru ini tidak dibuang universiti.

“Bagi YAB PM, mereka mungkin membuat kesilapan tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan,” katanya.

Pada 21 Jun lalu, lebih 100 peserta menyertai perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di Kota Kinabalu.

Walaupun perhimpunan itu bagi menggesa tindakan diambil terhadap Jabatan Air Sabah, beberapa peserta membakar karikatur Anwar pada penghujung himpunan itu.

Turut dibakar plakad tertera ungkapan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.

Aksi mereka yang disifatkan biadap itu kemudian mengundang bantahan penyokong kerajaan bahkan menuntut tindakan tegas terhadap perbuatan tersebut.

Dalam masa sama, UMS dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan pihaknya akan membuat laporan polis berhubung insiden pembakaran itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

BACA JUGA Berang pasal salah letak ubat, tergamak guna perkataan ini untuk suami