COO Prolintas mengaku bersalah terima rasuah RM90,000 projek lebuh raya
Ketua Pegawai Operasi (COO) Prolintas dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas membuat pengakuan menerima rasuah RM90,000.
Tertuduh, Rostam Shahrif Tami dikatakan menerima suapan daripada sebuah Syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd sebagai sogokan untuk mendapatkan kontrak Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Tertuduh gagal melaporkan pemberian rasuah pada 20 Februari 2023, di mana ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000, penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Peguam Zulkifli Ahmad mewakili tertuduh berkata, anak guamnya bersetuju supaya melucut hak semua wang yang telah disita, termasuk kira-kira RM180,000 dalam akaun Tabung Haji (TH) sebagai sebahagian daripada hukuman.
Menurut fakta kes, Pengerusi Satunas Technologies iaitu Fauzi Daud bersama Rosman seorang kakitangan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) – telah bertemu Rostam pada November 2022 untuk menyatakan hasrat menjadikan syarikat itu sebagai ‘kontraktor gantian’ bagi projek Lebuhraya Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).
Pada Februari 2023, selepas Satunas Technologies menerima surat tawaran, tertuduh didakwa meminta bayaran daripada Rosman, kakitangan LLM.
Rosman kemudiannya meminta RM100,000 daripada Fauzi (Pengerusi Satunas).
Sebanyak RM80,000 diperoleh daripada pemilik Satunas Technologies, Azmi Abdul Hamid, manakala Fauzi sendiri menyumbang RM20,000.
Daripada jumlah itu, Rosman menyerahkan RM90,000 kepada tertuduh dan menyimpan bakinya untuk dirinya sendiri.
BACA JUGA ‘Dakwa Zaharuddin di mahkamah, hukuman tegas boleh selamatkan Malaysia’