Kota MADANI tak pernah guna duit rakyat, empat fakta ini jawab salah faham ramai

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, tampil menjelaskan beberapa tanggapan salah berkaitan projek Kota MADANI Putrajaya yang dijangka dilancarkan secara rasmi esok oleh Perdana Menteri dalam Majlis Pecah Tanah di Presint 19.

Menurut beliau, projek ini bukan sekadar inisiatif pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya memenuhi keperluan perumahan penjawat awam dan selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang mementingkan keseimbangan sosial dan kelestarian.

Berikut empat tanggapan salah yang sering timbul, beserta penjelasan menteri:

1. Tanggapan: Kota MADANI akan gantikan Putrajaya

Fakta: Tidak benar.

Kota MADANI hanyalah sebahagian kecil dalam Putrajaya, bukan pengganti. Kawasannya cuma seluas 102 ekar, iaitu 0.8% daripada keseluruhan Putrajaya, dan terletak di Presint 19.

2. Tanggapan: Projek ini membazir duit rakyat

Fakta: Tidak menggunakan dana kerajaan.
Kota MADANI dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta dengan konsep BLMT (Build-Lease-Maintain-Transfer) oleh Putrajaya Holdings. Kos pembangunan RM4 bilion ini ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

Pemaju juga akan menanggung kos penyelenggaraan. Selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan jadi milik Kerajaan.

3. Tanggapan: Projek ini tidak perlu dan membazir ruang

Fakta: Ia keperluan mendesak.

Kota MADANI akan sediakan 10,000 unit kuarters baharu untuk penjawat awam. Hari ini ada lebih 17,000 permohonan kuarters yang belum dapat dipenuhi kerana kekurangan unit sedia ada. Ini bukan soal kehendak, tapi soal keperluan.

4. Tanggapan: MADANI hanya label politik

Fakta: MADANI bukan label politik.

Ia adalah nilai tentang kemanusiaan, keseimbangan, keadilan dan kelestarian. Kota MADANI ini dibangunkan selari dengan visi Bandar CHASE, iaitu bandar yang bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam.

Ada juga elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan teknologi terkini.

Bagi saya, penjawat awam layak mendapat kemudahan perumahan yang baik. Dan Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota tadbir urus yang inklusif dan berwawasan. Jangan terus kelirukan rakyat dengan naratif yang salah.