Selangor serah bantuan ATV bernilai RM143,220 kepada peladang, perkukuh sektor pertanian negeri

FOTO BERITA: Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Pertanian Kerajaan Negeri Selangor & Jualan Agro Madani PPK Bernam Jaya disempurnakan oleh YB Dato’ Ir. Izham Hashim Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor di Pejabat Pertubuhan Peladang Bernam Jaya, Sabak, Selangor. 24hb Jun 2025 (Selasa)

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan sektor pertanian menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Pertanian Kerajaan dan Program Jualan Agro Madani PPK Bernam Jaya yang telah disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Ir Izham bin Hashim, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan penyerahan peralatan pertanian berupa kenderaan ATV lengkap dengan gerabak beroda kepada 14 orang ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dari tiga kawasan di negeri ini. Penerima terdiri daripada ahli PPK Bernam Jaya (9 orang), PPK Sungai Besar (3 orang), dan PPK Sepang (2 orang) dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM143,220.00.

Menurut Dato’ Ir Izham, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan PPK untuk memperkukuh keupayaan peladang, meningkatkan sosioekonomi mereka serta menjamin keterjaminan makanan negara.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited membangunkan sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan sekuriti makanan negeri. Pelbagai peruntukan telah disalurkan melalui UPEN 2024/2025 bagi memperkasa Pertubuhan Peladang dengan peralatan moden dan efisien,” ujarnya.

Bantuan peralatan ini dijangka akan membantu para peladang mengurangkan kos operasi, meningkatkan hasil tuaian serta memperkukuh pengurusan ladang, selari dengan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang mengangkat pemodenan sektor pertanian sebagai keutamaan.

Turut diadakan pada hari yang sama ialah Program Jualan Agro Madani PPK Bernam Jaya, yang memberi peluang kepada peladang memasarkan hasil pertanian mereka terus kepada pengguna. Antara barangan yang ditawarkan termasuk ayam segar, daging, telur, minyak masak, serta produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan pada harga berpatutan..

Program ini juga merupakan platform penting dalam menghubungkan peladang dan pengguna secara langsung, sekaligus memperkukuh ekosistem agro makanan tempatan.

Majlis turut dihadiri oleh EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna merangkap ADUN Sungai Air Tawar, YB Datuk Hj. Rizam Hj. Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Tuan Haj. Mohd Fauzi Badrol; Pengarah LPP Negeri Selangor, Puan Norhaslina Abd Halim Lim; serta Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Bernam Jaya, Datuk Dr Hj. Abd Rahman Bakri.

Dengan sokongan dan kerjasama strategik berterusan antara agensi-agensi kerajaan dan peladang, Kerajaan Negeri optimis bahawa sektor pertanian Selangor akan terus berkembang maju dan menjadi antara penyumbang utama kepada kemakmuran ekonomi negeri.



