Siasatan SPRM ke atas Ismail Sabri sudah selesai, ini langkah seterusnya

Siasatan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah diselesaikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Berikutan itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bahawa timbalan pendakwa raya telah bersetuju untuk memfailkan permohonan melucut hak wang tunai RM170 juta berkaitan.

“Dalam kes ini pun kita telah selesai menjalankan siasatan, (kertas siasatan) telah pun berada dengan timbalan pendakwa raya (TPR).

“Maklumat saya dapat adalah setakat ini, TPR bersetuju untuk failkan dalam tempoh dua minggu lagi, pertamanya untuk melucut hak wang RM170 juta.”

Beliau menambah bahawa kes terhadap Ismail bergantung kepada keputusan TPR untuk meneruskan dengan pertuduhan jenayah.

“Saya juga sahkan kes membabitkan Ismail Sabri sudah selesai disiasat dan bergantung kepada TPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya

Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

SPRM berkata, wang tunai dirampas itu membabitkan nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.

BACA JUGA: Apa jadi dengan dana sukuk RM9 juta untuk Lebuhraya MEX II? Ketua SPRM jelaskan