Hormati Haji Koya Kutty, ini sebabnya Khalid setuju selesaikan kes saman

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, rasa hormat kepada pengasas The Other Press, Haji Koya Kutty mendorong beliau bersetuju untuk menyelesaikan kes saman terhadap bekas Ketua Pengarang Free Malaysia Today (FMT), Abdel Rahman Koya.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Nasional AMANAH berkata, beliau turut bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang kos termasuk kos guaman kepada Abdel Rahman.

“Tindakan ini saya lakukan sebagai tanda hormat kepada ayah beliau, Haji Koya Kutty yang saya kenal dan hormat.

“Haji Koya, pengasas The Other Press adalah penerbit buku dan majalah Islam yang saya segani dan penerbitan beliau telah menyumbang terhadap pemahaman perjuangan dan pemikiran Islam yang saya cuba hayati sejak zaman muda saya hingga sekarang.

“Antara penerbitannya yang saya gemari adalah majalah Readings in Islam.

“Semoga Allah merahmatinya,” kata Khalid menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khalid dan Rahman telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kes saman tersebut di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.

Rahman selaku defendan mengaku kesilapan dan kesal di atas segala masalah, kesusahan dan reputasi Khalid yang terjejas ekoran penerbitan laporan bertajuk “Khalid presses on, tells Dr M to make way for Anwar” dalam FMT pada 26 Februari 2020.

Susulan itu, Hakim Alice Loke Yee Ching mengesahkan persetujuan kedua-dua pihak tanpa mengenakan sebarang kos.

Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam selaku plaintif diwakili Datuk Sankara Nair manakala Rahman diwakili oleh Nizamuddin Hamid.

BACA JUGA Rahman mengaku silap, Khalid setuju selesaikan kes saman