Pembebasan Syed Saddiq: Jabatan Peguam Negara fail notis rayuan
Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang telah melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, jabatan ini telah memfailkan notis rayuan pada hari ini bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut,” kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan.
Mahkamah Rayuan telah membebaskan Syed Saddiq daripada empat tuduhan – pecah amanah jenayah membabitkan dana sebanyak RM1 juta Armada Bersatu, salah guna dana Armada sejumlah RM120,000, dan pengubahan wang haram.
Menurut Mahkamah Rayuan, pendakwaan tidak membuktikan kesalahan Syed Saddiq dan Mahkamah Tinggi juga terkhilaf dalam keputusannya.
Jabatan Peguam Negara berkata bahawa proses rayuan ini sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan keputusan mahkamah yang lebih rendah.
“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus.”
BACA JUGA: Selepas lima tahun, akhirnya Mahkamah Rayuan membuat keputusan ini dalam kes Syed Saddiq