Polis sahkan pelajar universiti di Cyberjaya mati dibunuh, tiada unsur rogol

Polis mengesahkan kematian seorang pelajar universiti swasta di Cyberjaya kelmarin tidak membabitkan unsur rogol, menurut siasatan awal yang didedahkan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, mangsa berusia 20 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya sebelum disahkan meninggal dunia 

Difahamkan, punca kematian disebabkan mangsa dipukul menggunakan objek tumpul di kepala, dengan beberapa barangan milik mangsa dicuri.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk ke atas kediamannya dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian mangsa adalah disebabkan ‘blunt force trauma to the head’ atau hentakan objek tumpul di kepala,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia sekaligus menafikan dakwaan yang tular di media sosial yang menyatakan mangsa dibunuh dan dirogol.

“Tidak ada kecederaan yang menunjukkan unsur rogol. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860 atau hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Polis turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

Mangsa berbangsa Punjabi berusia 20 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi.

Difahamkan mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu dan keputusan itu diambil kerana beliau dijadualkan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

BACA JUGA Rahman mengaku silap, Khalid setuju selesaikan kes saman