Mat Sabu rayu semua pihak perkukuh pertanian, jayakan agenda keterjaminan makanan negara
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan bahawa konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, berkemungkinan besar bakal memberi kesan langsung terhadap rantaian bekalan makanan global.
Dalam Syarahan Perdana bertajuk Perang Timur Tengah: Kesan dan Ancaman kepada Keterjaminan Makanan Negara yang disampaikan semalam, beliau menegaskan bahawa peperangan itu bukan sekadar isu geopolitik semata-mata.
“Perang ini bukan sekadar isu geopolitik semata-mata. Ia menyentuh periuk nasi rakyat. Bila rantaian bekalan terganggu, harga makanan melonjak, rakyat yang terkesan,” katanya.
Menurut beliau, isu keterjaminan makanan perlu diberi perhatian serius oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ia merupakan keperluan asas yang menentukan kestabilan negara.
Oleh itu beliau menyeru semua pihak bersungguh-sungguh memacu sektor pertanian negara, memperkukuh pengeluaran tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import dan menyediakan dasar sokongan yang mampan kepada para petani, penternak dan nelayan.
Mohamad berkata, semua pihak perlu berganding bahu dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan, termasuk kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat.
“Ini bukan lagi pilihan. Ini keperluan. Ini perjuangan kita bersama.
“Bang Mat rayu agar semua pihak, sama ada kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat dan rakyat keseluruhannya, berganding bahu menjayakan agenda keterjaminan makanan negara.
“Negara yang tidak mampu mengisi perut rakyatnya akan sentiasa berada dalam kedudukan yang lemah,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mendoakan kesejahteraan untuk rakyat di Palestin dan Iran.
“Kita doakan keamanan untuk saudara kita di Palestin dan Iran. Kita juga perlu bersiap siaga, demi tanah air tercinta ini,” katanya lagi.