Menolak politik jumud, menjunjung kebijaksanaan perlembagaan
Dalam tulisan Mohd Zuhdi Marzuki yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 27 Jun 2025, beliau menggesa agar PAS memperjuangkan hanya orang Islam layak menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Pandangan ini mungkin lahir daripada hasrat memperkasa Islam, tetapi malangnya ia juga menggambarkan suatu pendekatan politik yang sempit, tidak berpijak pada realiti perlembagaan dan demokrasi, serta cenderung mengabaikan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Lebih membimbangkan, pendekatan seperti ini menampilkan wajah Islam yang eksklusif, mencurigai pihak lain, dan menolak kesepakatan yang telah terbina sejak pembentukan negara ini — yang akhirnya hanya akan melemahkan usaha perpaduan dan pentadbiran berasaskan hikmah.
Perlembagaan menentukan, bukan sentimen politik
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti.
Tiada syarat mengenai agama atau kaum, namun dalam realiti politik Malaysia, pemimpin Melayu Islam lazimnya menjadi pilihan kerana majoriti rakyat dan kebijaksanaan YDPA sebagai penjaga kestabilan negara.
Mahathir dan isytihar negara Islam: Strategi bukan tafsiran perundangan
Mahathir Mohamad pada tahun 2001 mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam bukan kerana wujudnya transformasi perlembagaan atau hukum syarak sebagai sumber utama undang-undang, tetapi sebagai satu strategi politik:
• Untuk menangani naratif negara Islam versi teokrasi yang dibawa Pas
• Meyakinkan rakyat bahawa kerajaan tetap menegakkan nilai dan institusi Islam secara progresif dan terbuka.
Mahkamah Persekutuan dalam kes Che Omar Che Soh v PP (1988) telah pun menjelaskan bahawa Malaysia kekal sebagai negara sekular berperlembagaan dengan ciri-ciri keagamaan, dan bukan negara hukum Islam sepenuhnya.
Kepimpinan Islam berdasarkan nilai, bukan identiti semata-mata
Islam menekankan keadilan (`adl), amanah, kebolehan dan hikmah sebagai asas memilih pemimpin. Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf dan melantik orang bukan Islam dalam urusan kenegaraan selama mereka berpegang kepada prinsip keadilan dan perjanjian yang dimeterai.
Perjuangan Islam tidak harus dikurung dalam bentuk eksklusif kaum dan agama semata-mata, tetapi mesti disampaikan melalui pengamalan nilai sejagat Islam dalam pemerintahan – seperti kejujuran, ketelusan dan keadilan – yang boleh dirasai oleh seluruh rakyat, tanpa mengira agama.
Peranan YDPA dan institusi raja dalam menjamin keseimbangan negara
Kebimbangan Pas terhadap kemungkinan seorang bukan Islam menjadi Perdana Menteri sebenarnya memperkecilkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, yang telah dan akan terus menilai berdasarkan prinsip keseimbangan, kestabilan dan keharmonian nasional.
Sejarah pelantikan Perdana Menteri sejak merdeka jelas membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu berperanan mengekalkan kepimpinan yang tidak hanya sah secara teknikal, tetapi juga diterima dan disegani oleh rakyat pelbagai lapisan.
DAP tidak gusar Islam, tetapi bimbang politik eksklusif
DAP dan parti-parti bukan Melayu tidak gusar dengan Islam atau orang Melayu memimpin. Apa yang dibimbangkan adalah pemikiran sempit dan tindakan tidak beradab sesetengah pimpinan Pas, yang cuba memonopoli tafsiran Islam dalam konteks politik dan menolak segala pihak lain, terutamanya DAP, seolah-olah musuh Islam.
Pendekatan Pas yang sering menggunakan tudingan dan menabur syak wasangka terhadap pihak lain adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan semangat kenegaraan.
Kesimpulan: Menjulang Islam dalam kerangka Malaysia, bukan acuan Pas
Kita tidak pernah menolak pelaksanaan Islam dalam negara, malah menyambut baik segala usaha memperkasa perbankan Islam, pendidikan Islam, undang-undang syariah dan budaya pentadbiran Islamik.
Namun, acuan pelaksanaan Islam dalam negara ini bukanlah acuan PAS, yang bersifat eksklusif terhadap kuasa, bersifat retorik tanpa perancangan strategik, dan sering mengabaikan etika politik dalam masyarakat majmuk.
Pas mahu menguasai naratif Islam di Malaysia, tetapi sering gagal memahami bahawa pembentukan negara Malaysia adalah berdasarkan muafakat dan kontrak sosial, serta dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan.
Seruan mereka supaya kuasa politik diberikan hanya kepada kelompok mereka semata-mata bertentangan dengan Piagam Madinah, bahkan bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong sendiri.
Dalam titah Baginda sempena sambutan Maal Hijrah 1447H, YDPA bertitah:
“Nabi Muhammad SAW telah memberikan contoh dan cara pemerintahan Islam sebenar, hingga berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang berbeza kaum dan agama.”
Baginda mengingatkan bahawa peristiwa Hijrah menyaksikan bagaimana perpaduan dibentuk melalui perjanjian bertulis Piagam Madinah, dan menegaskan:
“Di negara kita juga, perpaduan rakyat yang majmuk telah dicapai melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai-nilai bersama seperti keadilan, kuasa, tanggungjawab dan muafakat.”
Pas, malangnya, berkehendak memaksakan tafsiran eksklusif mereka terhadap Islam ke atas semua, tanpa menghiraukan pembentukan negara, semangat Piagam Madinah, atau kebijaksanaan institusi Raja Berperlembagaan.
Jika mereka benar memperjuangkan Islam, maka kembalilah kepada Islam yang membina, mempersatukan dan membawa rahmat kepada seluruh manusia, bukan Islam yang hanya diguna sebagai alat mendapatkan kuasa mutlak untuk kelompok sendiri.