Selangor Anjur Konvensyen Wanita Selangor 2025: Memperkasa Potensi & Kapasiti Ekonomi Wanita

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen Wanita Selangor 2025 oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. Majlis turut dihadiri YB Puan Anfaal Saari selaku EXCO Pembangunan Wanita Dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dan Puan Siti Faridah Abdul Samad Ketua Pegawai Eksekutif, Wanita Berdaya Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) Selangor. 28hb Jun 2025 (Sabtu)

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmen terhadap pemberdayaan wanita menerusi penganjuran Konvensyen Wanita Selangor 2025 buat julung kalinya. Inisiatif ini digerakkan oleh Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, dan Ekonomi Penjagaan dengan matlamat utama untuk memperkasa potensi serta meningkatkan kapasiti ekonomi wanita di negeri ini.

Konvensyen ini bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja dengan memberi fokus kepada penghapusan halangan sistemik, penyediaan latihan dan bimbingan kerjaya, serta menggalakkan dasar pekerjaan yang anjal dan mesra keluarga.

“Melalui sesi townhall, bengkel praktikal, pitching dan pameran, peserta wanita diberi ruang untuk meneroka peluang ekonomi baru serta membina kemahiran yang relevan untuk masa depan,” katanya.

Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. Ia dianjurkan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan 13 rakan strategik dari kalangan agensi kerajaan serta sektor swasta.

Bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam, program ini merangkumi empat komponen utama antaranya Konvensyen Kerjaya Wanita – membincangkan keperluan dan cabaran wanita dalam pasaran kerja semasa. Pitching Usahanita Digital – menyokong penyertaan aktif wanita dalam bidang ekonomi digital. Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) – mempromosi produk komuniti wanita termasuk suri rumah, ibu tunggal dan usahawan mikro dan Sesi Townhall Gen Z – membina kesiapsiagaan wanita muda dalam sektor masa depan seperti TVET dan STEM.

Antara peserta yang hadir termasuk wanita tidak bekerja, suri rumah, graduan, usahawan wanita baharu, pelajar sekolah menengah, profesional wanita, pembuat dasar, pemimpin industri dan ahli akademik.

Konvensyen ini selari dengan Matlamat Pertama Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026, iaitu untuk meningkatkan keupayaan wanita Selangor dalam sektor sosioekonomi, sejajar dengan aspirasi negeri ke arah pembangunan yang inklusif dan lestari.








