TVET Pertanian bukan lagi tradisional, masa depan pertanian terletak pada inovasi dan kemahiran belia – Mohamad

FOTO BERITA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini menganjurkan Karnival TVET Pertanian @ KPKM Tahun 2025 yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bertempat di Dewan MBSA (Dewan Aster), Kemuning Utama, Seksyen 32, Shah Alam, Selangor.

Karnival ini merupakan platform penting bagi mempromosi dan memperluas peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian, seiring dengan usaha KPKM untuk melahirkan tenaga mahir tempatan dalam sektor agromakanan.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu menekankan bahawa sektor pertanian negara memerlukan suntikan tenaga kerja muda yang terlatih dan inovatif. Beliau menyatakan bahawa TVET dalam bidang pertanian bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor ini, malah berpotensi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada generasi muda.

“TVET pertanian bukan lagi bersifat tradisional, tetapi kini menekankan elemen teknologi, inovasi dan kemampanan. Ini adalah masa depan pertanian negara yang kita mahu bina bersama anak muda Malaysia,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama sehari ini turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran institusi TVET pertanian di bawah KPKM, demonstrasi teknologi moden pertanian, sesi padanan kerjaya bersama industri, pertandingan kemahiran, dan bengkel kerjaya.

Program ini menghimpunkan pelbagai agensi di bawah KPKM seperti MARDI, FAMA, LPP, LKIM, Jabatan Pertanian, serta institusi pendidikan seperti Institut Pertanian dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), bagi memperlihatkan laluan kerjaya dan kemahiran dalam sektor agromakanan.

Penganjuran Karnival TVET Pertanian @ KPKM ini juga seiring dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta peningkatan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian moden.

KPKM mensasarkan peningkatan jumlah pelajar dalam bidang TVET pertanian serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan pihak industri agar wujud kesinambungan antara latihan, kemahiran dan keperluan pasaran kerja.







