Gempur Sabah Berakhir Cemerlang: AMANAH Perkukuh Akar Umbi di Tanjung Aru – YB Sany Hamzan

FOTO BERITA: Program Gempur Sabah yang berlangsung selama tiga hari di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru telah melabuhkan tirainya dengan kejayaan yang membanggakan, menurut Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional, YB Mohd Sany Hamzan. (Gambar: Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional)

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau memaklumkan bahawa program anjuran Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional bersama kepimpinan AMANAH Sabah yang diketuai Datuk Lahirul Latigu telah menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat. “Fokus kami jelas – turun padang untuk mendengar sendiri suara rakyat, serta memastikan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba,” ujar beliau.

Pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan telah dijalankan sepanjang program, antaranya ziarah ke rumah warga OKU, lawatan ke gerai peniaga kecil, Balai Bomba dan IPD Polis, serta penyerahan Bakul Rahmah kepada pelajar cemerlang dan keluarga memerlukan. AMANAH turut menyantuni golongan belia menerusi klinik bola sepak dan pemberian peralatan sukan.

Menurut YB Mohd Sany, yang lebih utama daripada aktiviti-aktiviti tersebut adalah peluang berinteraksi terus dengan masyarakat akar umbi. “Kami tidak datang hanya untuk memberi, tetapi juga untuk belajar dan membina hubungan yang lebih kuat dengan komuniti. Banyak kisah kehidupan dan harapan yang dikongsi kepada kami,” katanya.

Dari sudut pengukuhan organisasi, beberapa cawangan baharu AMANAH telah berjaya ditubuhkan di kawasan berkenaan, sebagai langkah penting membina struktur akar umbi yang mantap.

Beliau turut menzahirkan komitmen Biro Pilihan Raya AMANAH Nasional untuk terus menyokong pembangunan parti di Sabah dari segi latihan, strategi dan penggerakan jentera pilihan raya. “Tahniah kepada seluruh pimpinan dan jentera AMANAH Sabah serta Jawatankuasa Biro Pilihan Raya Nasional atas kesungguhan dan komitmen tinggi sepanjang program ini,” katanya.

YB Mohd Sany menutup kenyataannya dengan penghargaan kepada warga Tanjung Aru atas sambutan yang mesra dan sokongan yang diberikan. “Kita teruskan gerak kerja ini dengan semangat yang konsisten, tenang dan teratur – menuju kemenangan yang kita usahakan bersama,” katanya penuh keyakinan.