‘Kalau disambung kata khianat, tak disambung pun kata khianat’ – PM
Proses pelantikan dan penyambungan penjawat awam termasuklah hakim perlu mengikut prosedur yang ketat, dan bukannya kuasa mutlak Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia perlu melalui proses rasmi termasuk rujukan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, serta dibawa ke Majlis Raja-Raja.
Menurut beliau, apabila sesuatu pelantikan atau penyambungan dibuat, wujud kecenderungan sesetengah pihak untuk menuduh berlaku pengkhianatan meskipun tuduhan yang sama juga dilemparkan apabila keputusan yang sebaliknya diambil.
“Apa yang brlaku adalah prosesnya. Kalau ada yang kata ini kuasa PM mutlak, tidak. Kalau faham Perlembagaan, saudara tahu prosesnya.
“Bila ada satu kes disambung (tugas), dikata khianat. Satu kes tak disambung (tugas( pun dikata khianat. Ini masalah bila institusi yang sepatutnya bebas dan berintegriti dipolitikkan,” katanya dalam perjumpaan bulanan dengan Warga Jabatan Perdana Menteri pagi ini.
Jelas beliau, sebarang keputusan berkaitan perkhidmatan dalam institusi kehakiman perlu dihormati, dan tidak wajar dijadikan medan perbalahan politik atau tekanan kumpulan tertentu.
“Harus ingat, kita kena pertahankan institusi ini bukan ikut selera politik, atau kelompok tertentu dan pelobi,” tegasnya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan terhadap keputusan mahkamah seperti dalam isu ‘lepas tanpa dibebaskan’ (DNAA) tidak harus dijadikan alasan untuk mempertikaikan kebebasan badan kehakiman.
“Kalau DS Najib dapat DNAA, dikata PM campur tangan dan khianat. Kalau SS dapat DNAA, salah juga. Kalau tak dapat DNAA pun salah juga. Saya kata itu bukan urusan saya. Soal saya setuju atau tidak, itu bukan isu,” katanya lagi.
BACA JUGA Kenapa RM4.5 bilion harta Daim di lima negara dibekukan? Ini penjelasan mudah