Pemecatan CEO YBR Timbulkan Persoalan Integriti – Abdullah Sani

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Y.Bhg. Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengenai pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat (YBR) oleh Pengurusan Tertinggi Bank Rakyat di Simple D. Cafe, T5-1-4 Maju Link, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. 30 Jun 2025 (Isnin)

Mantan Presiden MTUC, Y.Bhg. Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, hari ini mengadakan satu sidang media khas bagi mengulas isu pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat (YBR), Encik Syaiful Rizal Abdul Ghani, yang didakwa berlaku akibat campur tangan langsung daripada pengurusan tertinggi Bank Rakyat.

Datuk Abdullah Sani membidas tindakan tersebut sebagai satu bentuk penganiayaan profesional yang mencemarkan amalan tadbir urus korporat institusi kewangan negara.

“Pemecatan Encik Syaiful Rizal bukan sahaja tidak berlandaskan proses tatakelola yang telus dan adil, malah menimbulkan tanda tanya terhadap integriti keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan Bank Rakyat,” katanya dalam sidang media tersebut.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya salah guna kuasa dalam institusi perbankan milik rakyat jika tidak dipantau secara menyeluruh, khususnya dalam aspek pelantikan dan penamatan pegawai kanan yayasan.

“Isu ini bukan soal individu semata-mata, tetapi soal integriti institusi. Jika kita benarkan budaya campur tangan ini berlarutan, ia akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa yang lebih besar,” tegas beliau.

Tindakan undang-undang tersebut difailkan berikutan penamatan perkhidmatan mereka yang didakwa berlaku secara mengejut dan tanpa justifikasi yang sah. Encik Syaiful mendakwa pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YBR telah ditamatkan pada 25 April 2025 atas alasan yang dipertikaikan, termasuk campur tangan luar oleh Bank Rakyat yang didakwa telah mencetuskan penamatan tersebut.

“Saya juga telah membuat laporan polis terhadap Jabatan Audit Bank Rakyat kerana dapatan dalam laporan audit tersebut tidak mencerminkan perbincangan sebenar yang berlaku bersama pihak pengurusan Yayasan Bank Rakyat. Ini menimbulkan kebimbangan sekiranya jabatan audit sesebuah bank digunakan sebagai instrumen untuk menganiaya mana-mana pihak,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya serta tiga bekas warga kerja YBR lain bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang aduan salah laku terhadap mereka. Namun, mereka juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang lanjut sekiranya laporan yang dikemukakan bersifat palsu atau berunsur niat jahat.